
Ingatlah, jangan disalahkan mentari kerana bahang cahayanya menghangatkan kita, kerana di kala kehilangan cahayanya akan mengundang gundah di hati sanubari kita ini nanti. Syukurilah nikmat Tuhan yang amat hebat ini. Allah menciptakan matahari untuk kesenangan kita sepanjang menjalani kehidupan di dunia yang fana ini. Namun ingatlah jika diperincikan setiap ciptaan Allah itu ada buruk dan baiknya di mata kita, namun hakikat yang sebenarnya semua ciptaan Allah itu membawa kebaikan kepada kita semua.
Sesungguhnya kilauan cahaya mentari di panas yang terik di siang hari amat menyilau pandangan mata ku ini. Itulah bukti ciptaan Allah, Tuhan Yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sedarilah duhai insani sesungguhnya segala ciptaan Allah di alam ini adalah untuk menunjukkan bukti keagungan kekuasaan dan kebesaranNya kepada kita semua supaya kita senantiasa ingat walau di mana jua kita berada sesungguhnya kita hanyalah milikNya jua.