Friday, December 31, 2010

Bingkisan Tahun 2011 M


Masa pantas bergerak, tahun yang sudah meninggalkan kita dan tahun baru kini menjelma. Oleh itu, muhasabah lah diri semoga segala pengalaman silam bakal menjadi teladan dan sempadan buat kita semua. Ingatlah duhai temanku, masa tidak akan berhenti, tapi terus berjalan sehingga ke penghujung detik kehancuran dunia ini.

Sesungguhnya tahun silih berganti, muhasabahlah dirimu duhai temanku adakah kita sudah memanfaatkan waktu yang sudah dengan sebaiknya. Buatlah perancangan dengan penuh berhikmah moga di tahun baru ini kita mulakan azam yang baru dan rencana lah ia dengan sebaik-baiknya. Ingatlah kita bakal menghadapi suka dan duka dalam melakasanakan azam kita ini. Sesungguhnya suka dan duka adalah lumrah kehidupan insani di dunia ini di mana kita tidak boleh terlepas daripada melaluinya sepanjang hayat kita di dunia yang sementara ini . Oleh itu, hadapilah ia dengan penuh kesabaran di kala duka melanda dan zahirkanlah kesyukuran buat Ilahi di kala kita dalam kegembiraan.

Akhirul kalam, ingatlah duhai temanku, masa adalah kehidupan di mana jika kita mensia-sia kan masa bermakna kita telah menjadikan kehidupan kita dalam kerugian. Oleh itu, manfaatlah ia dengan sebaik-baiknya diketika jasad di kandung badan moga-moga kita tidak menyesali nya di ketika kita di bangkitkan bertemu dengan Allah di alam akhirat sana.

Monday, December 20, 2010

Hujan Membasahi Bumi

Hujan turun mencurah-curah, diselangi ribut petir dan guruh berdentum serta kilat sabung- menyabung. Suasana pemandangan di persekitaran gelap dinaungi awan hitam yang tebal yang menurunkan hujan membasahi bumi yang tandus. Hujan adalah rahmat daripada Ilahi buat penduduk bumi, menyuburkan tanaman yang menghijau, menyejukkan kehangatan insan yang panas dek bahang sang suria. Hujan jua lah boleh mengakibatkan bahana banjir di tanah yang rendah. Itulah hujan ada ketika turun sebagai rahmat dan ada jua waktu nya merupakan menjadi bencana kepada penduduk bumi.

Ayuh duhai insan, bersyukur lah dengan kurniaan Ilahi ini, yang menurunkan hujan sebagai nikmat dan rahmat kepada kita semua. Bayangkan jika di dunia ini tanpa hujan, nescaya akan musnah lah kehidupan di muka bumi ini. Seluruh makhluk akan mati kerana kepanasan dan terputusnya bekalan makanan untuk kesinambungan kehidupan mereka. Namun, masih ada insan yang tidak bersyukur dengan kurniaan ini malah ada yang menyalahkan nikmat hujan kerana mengganggu urusan duniawi mereka. Sedarlah duhai insan, percayalah bahawa setiap kurniaan Ilahi adalah untuk kesenangan manusia dan mempunyai hikmah yang penuh tersirat dan tersurat jika kita fikirkan nya secara mendalam.

Di ketika hujan turun mencurah, sama-samalah kita memanjat sekalung doa memuji memuja Ilahi bersyukur di atas segala rahmat yang dikurniakan kepada kita semua. Duhai tuhanku sesungguhnya rahmatMu meliputi segala-galanya, daku tunduk patuh dengan penuh kerendahan hati menghadap diriMu.

Wednesday, December 15, 2010

Peristiwa Penting Pada 10 Muharam


Hari Asyura iaitu pada tanggal 10 Muharam merupakan hari yang mempunyai sejarah yang tersendiri di dalam Islam. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.

2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.

3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.

4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.

5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.

6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.

7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkan Allah.

8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.

9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.

10.Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.

11.Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.

12.Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.

13.Hari pertama Allah menciptakan alam.

14.Hari pertama Allah menurunkan rahmat.

15.Hari pertama Allah menurunkan hujan.

16.Allah menjadikan 'Arasy.

17.Allah menjadikan Luh Mahfuz.

18.Allah menjadikan alam.

19.Allah menjadikan Malaikat Jibril.

20.Nabi Isa diangkat ke langit.

Tuesday, December 14, 2010

Taman Syurgawi

Ku telusuri jalan di tengah-tengah hiruk pikuk kesibukan bandar, alangkah gusar hati ku ini dengan suasana persekitaran bandar yang amat sibuk yang dapat ku lihat. Udaranya cukup mengancam sesiapa sahaja yang bernafas. Udaranya yang penuh dengan pencemaran daripada asap-asap kenderaan yang bergerak bertali arus.

Namun berlainan pula ku dapati bila daku melalui jalan-jalan yang di kiri kanan ku di penuhi taman-taman yang indah dihiasi bunga-bungaan yang berwarna-warni dan dedaunan yang menghijau yang cukup menenangkan jiwa ini. Inilah dia keindahan taman di dunia yang menyejukkan mata sesiapa yang memandangnya. Namun begitu, untuk memastikan keindahan taman ini terus terpelihara, usaha dalam memeliharanya wajib dilakukan selalu dan berutin. Di ketika ini jua lah daku menyedut udara yang nyaman di taman ini, udara yang cukup bersih. Inilah dia taman di dunia yang diciptakan oleh Allah Rabbul Jalil buat insan sementara menghuni di dunia yang fana ini. Moga-moga diri kita semua di kurniakan taman yang kekal abadi di alam sana, di alam akhirat sana yakni syurga yang penuh dengan kenikmatan yang di anugerahkan buat insan yang soleh yang menuruti segala perintahNya di kala hidup di alam dunia ini. Taman syurgawi di alam akhirat sana akan dihuni oleh para solihin buat selama-lamanya dilimpahi kenikmatan yang abadi yang tiada penghujungnya.

Oleh itu, duhai insani lakukanlah amalan soleh di ketika kita masih di beri kesempatan untuk menghuni dunia ini. Semoga kita dapat mengecapi kenikmatan yang abadi di syurga di alam sana. InsyaALLAH.

Monday, December 13, 2010

Rimba Maya

Alangkah hebat nya ciptaan Yang Maha Kuasa, dijadikan gunung ganang sebagai pasak bumi, langit sebagai bumbungnya tanpa bertiang dan lautan kebiruan di mana keluasannya sejauh mata memandang. Indah sungguh ciptaan tuhanku ini. Ku tunduk akur dengan kebesaranNya Ya Ilahi.

Di rimba maya pula, pelbagai kehidupan menghuni di sana. Sang mergastua berkeliaran ke sana ke sini di rimba yang penuh kehijauan ini. Kicauan sang burung seolah-olah mengalunkan satu irama yang merdu memecahkan kesunyian rimba maya ini. Kelihatan dedaunan kehijauan menambahkan lagi keindahan alam rimba ini. Namun, ada segelintir tangan-tangan manusia yang durjana telah memusnahkan hampir di segenap penjuru rimba ini dek kerakusan mereka untuk memiliki kekayaan duniawi. Ini lah manusia bila nafsu menguasai diri, akal lumpuh tidak berfungsi lagi, yang diinginkan adalah untuk kepuasan dirinya dengan tidak memikirkan lagi kesan kemusnahan terhadap manusia lain.

Ku mengharapkan rimba ini kan kembali kepada suasana asal, suasana sebelum di jelajahi oleh tangan-tangan si manusia durjana. Ayuh duhai insani, sama-sama lah kita memelihara khazanah alam yang tidak ternilai ini. Janganlah kita sia-sia kan pemberian tuhan ini. Allah mengurniakan rimba ini bukan untuk kita musnahkan nya tetapi supaya kita memeliharakannya sesuai dengan syariat yang diperintahkan olehNya. Moga-moga hidup kita senantiasa dirahmati olehNya, InsyaAllah.

Tuesday, December 7, 2010

Lembaran Baru Hijrah- 1432 H


1 Muharam 1432 Hijrah, tahun permulaan Hijrah membuka lembaran baru kehidupan insani. Bukakan langkahmu moga-moga tahun ini lebih baik tahun yang sebelum nya. Ingatlah duhai temanku tahun sudah telah meninggalkan sejarah buat kita semua. Segala yang telah berlaku haruslah dijadikan iktibar buat teladan di kehidupan yang mendatang.

Sematkanlah di hatimu azam yang baru, semoga tahun ini bakal menjadikan tahun kehidupan yang lebih baik daripada tahun sudah. Manfaatkanlah setiap detik di tahun ini supaya segala amalan yang kita semua lakukan menjurus kepada perkara kebaikan dan mendekatkan kan diri kepada Allah azzawajalla. InsyaALLAH.

Ingatlah duhai temanku, tuhan menciptakan waktu untuk diuruskan dengan penuh berhikmah dan moga-moga natijah daripada perbuatan kita ini, kita dapat mengecapi kejayaan hidup di dunia ini lagi dan kejayaan di kehidupan abadi di negeri akhirat kelak. Ameen Ya Rabbal Alamin.

SALAM MAAL HIJRAH

Monday, December 6, 2010

Kedinginan Bayu

Angin lembut sifatnya, kedinginan nya menyapa di kedua pipi ku. Ia tidak kelihatan namun, sentuhannya dapat ku rasai. Itulah bukti kewujudan nya di alam ini. Angin sepoi- sepoi bahasa bertiup di tepian pantai mewujudkan suasana yang permai diwarnai keindahan lautan yang membiru dan pepasir yang memutih.

Pemandangan pantai memang indah di mana keindahan nya dapat menenangkan jiwa yang keresahan. Melapangkan fikiran yang bercelaru dalam mengharungi keributan duniawi yang penuh hebat liku pancaroba nya ini. Di sini jualah ilham turun mencurah buat sang penyair bagi melakar syair yang indah buat coretan mereka dan untuk tatapan sang pencinta bahasa. Indah nya alam ciptaan tuhan di mana panorama nya cukup harmoni. Ku panjat kesyukuran yang tidak terhingga banyaknya sebanyak buih di lautan, namun daku percaya ianya belum mampu membalas lautan nikmat kurniaan Ilahi buat diriku yang dihidupkan di muka bumi ini.

Maha Suci Allah yang menghidupkan kita dan bakal mematikan kita dan kita akan dihidupkan kembali di padang Mashyar kelak. Oleh itu persiapkanlah amal kebaikan di dunia ini semoga kita mendapat perlindungan di sana nanti di mana tiadalah perlindungan melainkan daripada Dia Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Kuasa di atas tiap-tiap sesuatu.

Wednesday, December 1, 2010

Pusingan Roda Kehidupan

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini bagaikan roda, sekali kita berada di atas di mana kita mengecap kesenangan dan sesekali kita berada di bawah, di mana kita di uji dengan bala bencana daripada tuhan semesta alam yang mentadbir seluruh alam maya. Oleh itu, di ketika kita mendapat kemewahan dunia daripada Allah, jangan lah kita lupa kepadaNya dan lahirkan kesyukuran buatNya. Dan di kala kita di uji dengan pelbagai dugaan, yakinlah bahawa ujian tersebut adalah sebagai tarbiah untuk kita memupuk sifat yang mulia yakni sifat sabar menghadapi rintangan duniawi. InsyaAllah kita akan senantiasa dirahmati olehNya di dunia dan akhirat.

Duhai temanku, ingatlah roda kehidupan kita senantiasa berputar sehingga lah sampai saat dan ketikanya kita kembali kepada Yang Maha Esa dan kita tidak akan kembali lagi ke dunia ini buat selama-lamanya. Sesungguhnya peluang untuk setiap insan menghuni di dunia yang fana ini hanya diberikan sekali sahaja. Oleh itu, hadapilah ia dengan sebaik yang mungkin moga-moga kita mendapat kejayaan hidup di dunia dan di tempat kembali kita kelak di negeri akhirat yang kekal abadi. Hayatilah firman Allah dalam surah al-Mulk yang yang bermaksud:

Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun
Surah al-Mulk -Ayat 2

Sesungguhya Allah s.w.t menjadikan kehidupan dan kematian adalah untuk menguji manusia, siapakah di atara manusia ini lebih baik amalnya semasa hayat mereka di dunia ini. Oleh itu duhai temanku, pertingkatlah kualiti amalmu sepanjang kehidupanmu di dunia ini, moga-moga dikau dapat mempersembahkan amalan yang terbaik untuk tuhanmu di saat pertemuan kamu denganNya. Yang pasti pertemuan itu akan berlaku dan pasti akan berlaku.

Moga-moga kita semua senantiasa mendapat petunjuk daripada Allah Azzawajalla di dunia ini dan di akhirat kelak bakal mendapat balasan yang baik sebagai ganjaran terhadap amalan baik yang kita kerjakan sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini . InsyaAllah.

Monday, November 29, 2010

Kembara Musafir


Dikala ini ku merenung sendirian
Memikirkan nasib di perantauan
Apakah mungkin ku dapatkan bekalan
Buat menemui Rabbku Tuhan sekelian alam

Di perjalanan ini ku meniti
Pelbagai onak dan duri ku tempuhi
Segala rintangan kuredahi
Bersama semangat yang tak kunjung padam

Namun kupastikan jalan ini
Bakal membahagiakan daku
Di negeri abadi di akhirat sana
Dilimpahi nikmat kurniaan ilahi

Sunday, November 28, 2010

Perhiasan Duniawi

Wanita diciptakan sebagai pasangan untuk kaum Adam menghuni dunia yang maha sementara ini. Dirimu diciptakan daripada tulang rusuk Adam yang bengkok. Itulah dirimu, lemah lembut sifatnya tetapi setia di sisi kaum Adam. Dirimu lah perhiasan duniawi yang menyerikan lagi dunia ini untuk kehidupan insani.

Tanpamu hilang lah keindahan dunia dan tidak akan lengkaplah dunia ini laksana cincin tanpa permata. Namun sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah, bukan kerana hartamu yang bertimbun-timbun dikau miliki, bukan nya keturunan mulia yang dikau warisi dan juga bukannya paras rupa yang cantik bak bidadari yang engkau miliki, tetapi budi pekerti dan akhlak mulia dan pegangan teguhmu terhadap agama itulah yang menaikkan darjat mu sebagai sebaik-baik perhiasan duniawi yang tiada nilai nya dan amat berharga di sisi tuhan Yang Maha Esa.

Duhai insan yang bernama wanita, hiasilah peribadi mu dengan akhlak yang luhur dengan mencontohi srikandi silam di zaman awalan Islam hasil didikan kenabian. Duhai wanita, kerana mu lah generasi mendatang dilahirkan untuk meneruskan kesinambungan zuriat manusia bagi memakmurkan bumi ini sesuai dengan syariat Islam. Oleh itu, didiklah putera puteri mu dengan acuan Islam yang sejati bergandingan dengan kaum Adam supaya sempurna lah didikan itu. Daku mengharapkan akan lahirlah kaum hawa yang mempunyai jiwa yang kental setanding dengan srikandi Islam silam di zaman ini di zaman di mana dunia bakal menemui penghujung nya. Ameen.

Saturday, November 27, 2010

Permata Ayah dan Bonda

Adab Anak Terhadap Ibubapa

Adab anak terhadap ibubapa itu ada beberapa perkara. Tetapi Imam al-Ghazali yang dirahmati Allah Taala menyebutkanya di dalam Kitab Bidayatul Hidayah 10 Perkara seperti berikut:

1. Ia hendaklah mendengar dan menurut segala perkataan ibubapanya. Segala suruhan ibubapa wajib diterima dan haram menyalahinya dan segala yang ditegah wajib dijauhinya.

2. Ia hendaklah berdiri ketika ibubapanya berdiri kerana mentakzimkanya.

3. Jangan berjalan di hadapan ibubapanya.

4. Jangan mengangkat suara mengatasi suara ibubapanya.

5. Apabila ibubapa memanggilnya hendaklah dijawab dengan sopan, seperti dijawabnya dengan sesuatu yang memberitahu bahawa ia ‘membesarkan’ ibubapanya seperti لبيك(Saya datang) atau نعم (Ya) atau سيدي (Tuan) atau سيدثي (Puan), jika dengan bahasa Arab.

6. Ia hendaklah bersungguh-sungguh memelihara bagi mendapatkan keredhaan ibubapanya daripada perkataan dan perbuatan serta merendah dan menghinakan diri bagi ibubapanya.

7. Jangan mengungkit terhadap kedua-dua ibubapa dengan sebab berbuat kebajikan bagi mereka dan dengan sebab memelihara sekalian pekerjaan bagi mereka.

8. Jangan memandang mereka berdua dengan pandangan yang menyakiti mereka atau dengan pandangan marah terhadap mereka.

9. Jangan memasam muka di hadapan ibubapa kerana marah kepada mereka.

10.Jangan bermusafir melainkan dengan izin kedua ibubapa, kecuali musafir itu bagi menunaikan haji yang fardu ain ke atasnya, maka ia tiada berkehendakkan kepada keizinan kedua ibubapanya, tetapi sunat ia meminta izin kedua-dua ibubapanya. Adapun musafir bagi melakukan haji yang sunat atau yang fardu kifayah maka ia tiada harus melainkan dengan keizinan kedua-dua ibubapanya. Dan demikian juga musafir bagi menziarahi makam anbia dan aulia dan sebagainya tiada harus melainkan dengan keizinan kedua-dua ibubapanya, tetapi harus musafir bagi menuntut ilmu tanpa keizinan kedua-dua ibubapanya.

Allah jua yang memberi petunjuk.

Dipetik daripada Kitab Hidayah Salikin

Friday, November 26, 2010

Bintang Yang Bergemerlapan

Sang mentari melabuhkan tirai nya dan cahaya nya semakin pudar di ufuk Barat. Kicauan burung semakin sayup kedengaran berterbangan pulang ke sarang. Siang berganti malam, di mana sang mentari hilang dan sang rembulan datang. Inilah lumrah alam ciptaan Tuhan Yang Maha Esa. Ku tunduk tafakur menghadapNya dengan penuh rasa kerendahan hati.

Tabir malam akan dibuka melengkapkan putaran waktu ketentuan Ilahi. Suasana malam cukup mendamaikan jiwa di mana ketenangan nya pasti merehatkan insan yang kepenatan dalam mencari sesuap rezeki di siang hari. Malam diciptakan untuk kedamaian dan bermunajat merintih menghadap Pencipta alam maya ini. Usah lah ditangisi perginya siang kerana malam bakal menggantikannya. Semua ini adalah tanda kekuasaan Ilahi buat manusia untuk direnung dan difikir bagi menghadapi kehidupan di dunia yang maha fana ini.

Di ketika ini lah daku bertafakur sejenak memikirkan kehebatan alam ciptaan yang Maha Kuasa. Nun di langit sana bergemerlapan bintang-bintang yang cahayanya bak pelita menghiasi langit malam ku ini. Sungguh indah ciptaan Ilahi, siang diterangi cahaya mentari dan malam di hiasi bintang bercahaya terang berpadu dengan cahaya rembulan. Inilah alam ciptaan tuhan, moga diriku tergolong dikalangan hambaNya yang selalu bersyukur. Ameen.

Thursday, November 25, 2010

Sedetik Waktu Berlalu

Masa berlalu begitu pantas, setiap detik setiap ketika dari hari ke hari dan minggu ke minggu berlalu tanpa kita sedari. Bagi mereka yang mementingkan waktu, waktu di ibarat kan bagaikan emas seperti kata pepatah melayu ‘masa itu emas’. Sesungguhnya masa amat bernilai dalam kehidupan kita sebagai seorang insan yang hidup di atas muka bumi ini. Masa jua adalah kehidupan di mana berlalu nya ia akan meninggalkan kenangan silam buat insani.

Oleh itu, ayuhlah duhai insani, manfaatlah setiap detik yang kita tempuhi dan bakal kita lalui nanti dengan perkara-perkara kebaikan yang mendatangkan manfaat buat kita di kehidupan sana yang kekal abadi buat selama-lamanya. Kenangan silam yang kita telah lalui, eloklah diambil iktibar dan pengajaran dalam mengharungi hari-hari yang mendatang. Moga-moga kenangan yang lampau dapat mematangkan kita dalam menempuh hari esok yang penuh pancaroba lagi.

Setiap insan tidak akan terlepas dengan mehnah duniawi dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Kekuatan iman dan kesabaran adalah senjata dalam menangani nya. Bagi mereka yang berjaya mengharunginya bakal di beri ganjaran yang besar semasa hayat di dunia dan apabila kembali nya mengadap Allah di negeri akhirat sana. Ayuh temanku, tingkat kan kesabaran mu dalam menghadapi ujian duniawi moga-moga hidup kita sentiasa dirahmati oleh Nya.

Wednesday, November 24, 2010

Menuju ke Alam Yang Hakiki

Kita adalah sang pengembara dalam berkelana menuju ke alam abadi. Semoga di sepanjang pengembaraan ini kita di hadiahkan sifat sabar dalam menghadapi mehnah ujian dan segala aral melintang bakal kita tempuhi dengan penuh kejayaan. Tujuan perjalanan ini adalah untuk menemui Allah Rabbul Alamin, Tuhan sekalian alam ini. Oleh itu, kita haruslah berserah diri kepadaNya agar perjalanan kehidupan ini senantiasa dalam redhaNya. InsyaALLAH.

Setiap insan dianugerahkan masa yang berlainan dalam pengembaraan ini, di mana ada yang panjang masanya dan ada yang terlalu pendek. Semua itu merupakan ketentuan dari Ilahi dan dalam ilmuNya sejak daripada azali lagi. Oleh itu, duhai insan manfaatkanlah masamu yang masih berbaki sekarang yang bila-bila masa ajal mu bakal menjemput mu untuk mengadap tuhanmu. Hadapilah hari-hari mendatang dengan penuh keinsafan untuk mencari seberapa banyak bekalan yang bakal dibawa mengadap tuhanmu nanti.

Muhasabah lah dirimu, moga-moga ianya masih belum terlambat untuk dikau berpaling kepada kebenaran yang hakiki. InsyaALLAH semoga diri kita sentiasa dalam perlindungan dariNya dan mendapat maghfirah di atas segala kekhilafan yang kita lakukan.

Saturday, October 30, 2010

Ya Rabb

Ya Rabb, ku memohon maghfirah daripada Mu. Daku hanyalah insan yang lemah yang menghuni duniaMu yang maha sementara ini. Daku mendambakan keampunan dariMu duhai Tuhanku Yang Maha Pengasih dan juga Maha Penyayang. Kau ampuni lah segala dosa dan noda yang daku lakukan terhadapMu. Keampunan dariMu yang daku harapkan dariMu sebelum diriku kembali kepadaMu.

Ku amat mengharapkan keredhaanMu senantiasa mengiringi perjalanan hidupku ini. Ya Rabb, ku amat dambakan cintaMu, cinta yang dikurniakan kepada para Nabi dan Rasul dan juga orang siddiqin dan syuhada serta para solehin yang mengikuti jalanMu yang terdahulu dan sekarang. CintaMu akan kubajai dengan sifat Ketaqwaan setulus hati dan teguh terhadapMu. Ku amat mengetahui cintaMu adalah cinta yang abadi yang hakiki dan sejati.

Ya Rabb, limpahkanlah keredhaan dariMu buat diriku di kehidupan ini dan di kehidupan selepas mati. Ku amat bersyukur dengan segala nikmat yang Dikau kurniakan buat diriku di dunia ini. Semoga daku senantiasa dalam naungan rahmat dariMu hingga ke akhir hayatku.

Wednesday, October 20, 2010

Setitis Embun Pagi

Setitis embun pagi membasahi bumi. Ditika itu jualah kokokan sang ayam sahut sahutan memecahkan keheningan pagi yang mendamaikan ini. Suara bilal melaungkan azan subuh mengajak insani mengerjakan solat subuh serta mengejutkan insan yang masih lena di peraduan. Itulah dia suasana pagi yang keheningan yang pastinya begitulah rutin sehari-hari sebelum sang mentari muncul di ufuk timur.

Daku bertafakur dengan kebesaran Ilahi dan memanjatkan kesyukuran kerana jiwa ini masih dihidupkan lagi buat mengharungi kehidupan duniawi ini. Daku telah dimatikan buat sementara waktu kemudian dihidupkan kembali di pagi ini. Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi. Sekalung doa meniti di bibir ini memuji nama Ilahi dan daku ingin mengucapkan ucapan kesyukuran yang tidak terhingga buat Tuhan Pencipta Seluruh Alam Maya di atas segala nikmat yang dikurniakan. Daku hanyalah insan kerdil di antara seluruh insan lain yang masih dapat menikmati suasana pagi yang cukup kedinginan dan mendamaikan ini.

Di pagi ini lah jua ku berazam untuk melaksanakan segala suruhanMu Ya Allah. Ya Rabb berikan lah daku kekuatan dalam mengharungi mehnah duniawi ini sehingga daku kembali mengadapMu. Izinkan daku mengecap kenikmatan duniawi tanpa menyisihkan diriMu. Ya Rabb, ku mohon padaMu kejayaan di kehidupan ini dan kehidupan selepas mati. Redha kan lah daku di kehidupan ku di alam ini dan di alam akhirat yang abadi.

Monday, October 18, 2010

Cinta kekasih

Cinta adalah anugerah yang berharga dikurniakan buat insan. Oleh itu hargailah ia dengan sebaik nya. Bajailah ia dengan sifat penuh ketaqwaan kepada Pencipta kita Rabbul Alamin. insyaAllah ia bakal di suburkan dengan baiknya dan bakal dihiasi dengan bunga- bungaan Firdausi disirami air siraman yang harum warnanya daripada syurga kenikmatan yang hakiki yang tiada batasan kenikmatan itu.

Oleh itu duhai sahabatku, raihlah cinta yang hakiki, cinta buat yang maha Esa. Cinta yang tidak kan pudar dek kepanasan mentari, dan tidak kan hilang bak bulan di siang hari dan kan kekal buat selama-lamanya sehingga ke negeri abadi kelak bersama kekasih yang kita cintai. Pupuk lah jiwa mu dalam meraih cinta ini moga-moga dikau semua mendapat kelazatannya di negeri yang fana ini lagi. Kekallah ia dengan keimanan yang tulus sehingga ke akhir hayat dirimu. Moga– moga dirimu kan terkubur bersama cinta sejati yang hakiki ini sebagai teman buat dirimu mengadap Allah s.w.t

Sesungguhnya cinta itu hak mutlak Pencipta kita, dan bagiNya jualah kepada siapa Dia kurniakan perasaan cinta ini. Moga dirimu tergolong dalam kalangan yang mendapat kehebatan cinta yang sejati yang abadi ini. Duhai temanku, perbanyakkanlah mengajak insan lain dalam meraih cinta agung ini dan dikau akan kecapi kenikmatannya kelak. InsyaALLAH semoga ketulusan hati kita menjadi satu penggerak semangat untuk kita terus berdakwah mengajak insan lain kearah kebaikan yang hakiki ini.

Saturday, October 16, 2010

Jalan Kebaikan

Dalam mengharungi kehidupan di dunia ini, pelbagai simpang siur dan jalan yang kita tempuhi. Ada jalan yang bengkang bengkok diibaratkan macam ular kena palu serta ada juga jalan yang penuh berlopak dan berlumpur. Selain itu ada juga jalan yang sempit dan ada juga yang luas dan bermacam-macam jenis lagi jalan yang kita lalui bila berkenderaan untuk menuju ke sesuatu destinasi.

Namun adakah kita sedari bahawa dalam menghadapi kehidupan ini juga, kita sedang ataupun telah mengharungi pelbagai jalan kehidupan yang mana destinasi terakhir nya adalah akhirat sana. Jika kita salah memilih jalan kehidupan yang benar, maka akibat yang akan kita tanggung adalah amat buruk di negeri abadi sana. Oleh itu, pilih lah jalan kebenaran di mana penghujung nya adalah ke syurga di alam akhirat yang kekal abadi, jalan yang direntasi oleh para Nabi dan Rasul yang di pandu oleh wahyu dari Ilahi. Jalan yang diikuti oleh para sahabat Ridwanallahi alaihim ajmain, para Siddiqin, Syuhada dan para Solihin di dalam kehidupan mereka di dunia yang maha sementara ini.

Setiap hari kita sebagai umat Islam yang mempraktikkan salah satu rukun Islam yang lima iaitu di dalam solat lima waktu sehari semalam, kita berdoa kehadrat Allah Azzawajalla sebanyak 17 kali supaya ditunjukkan jalan yang lurus, jalan orang yang diberi nikmat oleh Allah iaitu Para Nabi dan Rasul utusanNya serta mereka yang mengikuti nya. Kita juga berdoa supaya tidak memilih jalan yang Allah murkai dan jalan orang yang sesat. Oleh itu, sama-samalah kita memelihara solat kita sehingga ke penghujung usia dan hayatilah bacaan surah Al-Fatihah ini yang merupakan surah yang wajib di baca di dalam solat kita. Akhirul kalam, sama-samalah kita berdoa supaya diberi kekuatan oleh Allah supaya dapat kita sama-sama memelihara solat yang lima waktu ini walau apa keadaan kita sekalipun. InsyaALLAH. Ameen ya Rabbal alamin

Monday, October 11, 2010

Hardship in This World

The world we stay is the wonderful world. Thank to God (Alhamdulillah) for giving us the bounties and chance to live in this world. I hope we fulfill this chance as good as possible, Insya ALLAH we can get benefit from that. Indeed, as a human being that was appointed as vicegerent of earth (Khalifatul Allah fil Ard) must do their responsibility as God desire.

O people, take benefit what had being in front us and don’t miss it because it’s not come to us every time. And also the time cannot be reverse, so every opportunity we get must take it wisely. Every hardship we encounter is the challenge for us and we must handle it whether we want or not. The hardship is always come to us and for every hardship had the easy thing behind it. Actually, this world is full with hardship as challenge for the human being.

Lastly, every human being had their own problem in this world. So use your brain wisely to solve it. Hopefully every problem that we encounter makes us more confident to take it as the challenge in this worldly life.

Friday, October 8, 2010

Kitab Agung Sepanjang Zaman

Sesungguhnya manusia dicipta untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi ini dan mengurus tadbir dan memakmurkan alam ini sesuai dengan kehendak Ilahi. Namun adakah ia sudah terlaksana dengan sempurna seperti yang disyariatkan oleh Allah kepada kita? Untuk menjadi seorang khalifah yang mentadbir dunia ini dengan jayanya, kita haruslah berpandukan dengan kitabullah dan sunnatul Rasulullah s.a.w. Itulah dua senjata yang ampuh yang Allah bekalkan menerusi Nabi Junjungan S.A.W.

Namun, dewasa ini ramai manusia yang mengaku bijak dalam mentadbir alam ini yang hanya menggunakan akal fikiran sahaja dan tidak mengambil peduli pusaka peninggalan Nabi Muhammad s.a.w. Para ulama’ yang betul-betul berpegang teguh dengan ajaran Rasulullah disisihkan. Natijah nya segala urusan duniawi tidak terlaksana sesuai dengan perintah Allah. Itulah lumrah duniawi, bila kebenaran dipinggirkan akan muncul lah kejahatan yang bermaharajalela di seluruh pelusuk dunia ini. Sesungguhnya ingatlah seksaan Allah amat lah memeritkan buat mereka yang melanggar perintah dariNya

Para cendikiawan Islam sejak zaman berzaman telah mengkaji dan menghayati ajaran yang terkandung dalam kitab suci Al Quranul Karim dalam melayari bahtera kehidupan duniawi. Sesungguhnya segala penyelesaian kehidupan manusia di zaman ini semua nya termaktub dalam kitab yang Agung ini. Oleh itu, marilah kita sama-sama membaca, menghayati isi kandungan Al Quran semoga kita mencapai kebahagiaan hidup di dunia ini dan di alam akhirat yang kekal abadi buat selama-lamanya. InsyaALLAH