Thursday, September 9, 2010

Persiapan Menyambut Eidufitri


Alhamdulillah… syukur kehadrat ilahi kerana kita telah dapat menyempurnakan sebulan berpuasa di bulan Ramadhan al Mubarak. Kini, tiba lah masa kita menyambut Hari Raya Eidulfitri, hari kemenangan buat seluruh umat Islam yang berjaya berjuang menahan lapar dahaga dan gejolak nafsu demi menurut perintah Allah s.w.t di bulan Ramadhan yang lalu. Namun, di sini digariskan beberapa adab bagi menyambut Eidulfitri ini. Di antaranya:

1. Berdoa di malam hari raya
Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Taala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya adalah di antara malam-malam yang diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitab Al-Umm: “Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rejab dan malam Nisfu Syaaban. Oleh itu banyakkanlah kita berdoa di malam Hari Raya Eidulfitri ini yang mana kebetulannya jatuh juga di malam Jumaat (Syawal 1431H).

2. Membanyakkan Takbir Sepanjang malam dan sebelum Solat Sunat Eidulfitri
Sejak malam hari Eidul fitri sehingga imam datang untuk memulakan solat pada hari raya, kita disunatkan memperbanyakkan bacaan takbir. Seharusnya umat Islam janganlah terlalu sibuk dengan aktiviti membuat persiapan Hari Raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini yang hanya datang pada Hari Raya sahaja. Takbir di Hari Raya meninggikan syiar Islam selain kalimah Takbir tersebut amat dibenci oleh Syaitan.

3. Bersolat Hari Raya secara Berjamaah
Di zaman Rasulullah s.a.w, solat sunat Hari Raya dilaksanakan secara berjamaah di padang ataupun di tempat yang lapang dan terbuka. Ini dapat memberi kemudahan kepada kaum wanita yang tidak dapat menunaikan solat Hari Raya kerana uzur untuk mendengar khutbah hari raya.

4. Pergi dan balik ke tempat solat melalui jalan yang berlainan
Disunatkan pergi dan balik daripada tempat solat melalui jalan yang berbeza. Tujuannya adalah supaya kita dapat bertemu dengan lebih ramai orang yang berlainan untuk kita sama-sama bersalam-salaman dan bermaaf-maafan

5. Menikmati makanan sebelum ke masjid
Disunatkan di Hari Raya Eidulfitri untuk menikmati sedikit makanan sebelum menunaikan Solat Hari Raya. Ia merupakan sunnah nabi Muhammad s.a.w sebagaimana yang diriwayatkan dari Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: Maksudnya: “Nabi s.a.w tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga baginda makan( terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)

6. Memakai pakaian yang elok
Rasulullah s.a.w sentiasa berpakaian kemas termasuklah ketika melaksanakan Solat Hari Raya. Oleh itu, kita haruslah mempersiapkan pakaian lebih awal agar tidak tergopoh gapah menjelang pagi Hari Raya. Diriwayatkan daripada Ja’far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya: Maksudnya: “ Bahawasanya Nabi S.A.W memakai kain yang bergaris-garis ( untuk diselimutkan pada badan ) pada setiap kali Hari Raya.” ( Hadis riwayat Al- Syafi’e dan Al- Baghawi)

7. Ziarah menziarahi
Disamping ziarah boleh merapatkan silatrurrahim sesama Islam, ia juga berperanan dapat mengangkat kesusahan yang dialami oleh orang lain.Amalan ziarah menziarahi ini sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.

No comments:

Post a Comment