Wednesday, September 14, 2011

Merenung Alam CiptaanMu Ya Rabbi

Di suatu petang yang mendamaikan, ku lihat burung berterbangan riang di angkasa raya, sebelum kembali ke sarang apabila senja melabuhkan tirai nya. Daku melihatnya dengan penuh ketakjuban. Maha suci Allah yang menjadikan setiap makhluk di muka bumi ini dengan bermacam bentuk dan rupa dan mempunyai manfaat nya yang tersendiri samada kita ketahui ataupun tidak ketahui.

Betapa hebatnya ciptaan Allah di alam maya ini. Ku tunduk syukur dan akur dengan kekuasaanNya yang meliputi segala-galanya. Betapa kerdil nya diri ini dibandingkan seluruh ciptaan Allah yang lainnya namun ku syukuri segala kurniaan Nya terhadap diriku ini yang tiada upaya sedikit pun tanpa pertolongan dariNya Tuhan Yang Maha Esa.

Ayuh duhai sahabatku, renungilah alam ciptaan Tuhan yang penuh ketakjuban ini. Kerana di sebalik keindahan nya itu tersirat suatu rahsia yang maha hebat. Maha suci Allah yang tidak menjadikan segala ciptaan Nya di alam yang maha luas ini sia-sia. Semoga kita semua dapat mengambil manfaat sebanyak-banyaknya di kala merenung kebesaran alam ciptaan Allah yang maha hebat ini.

Monday, September 5, 2011

Mutiara Hikmah

Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada sifat yang membinasakan:
1.Dia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya;
2. Hartanya akan diambil secara paksa oleh pemimpin yang zalim;
3. Hartanya menjadi rebutan orang jahat dan akan dipergunakan untuk berpoya-poya perkara yang tidak berguna.
(Sayidina Abu Bakar as-Siddiq)

* Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya.
* Orang yang suka menghina orang lain, akan dihina.
* Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menyertainya.
* Sesiapa yang menjaga kehormatan orang lain, kehormatan dirinya akan dijaga.
(Sayidina Umar bin al-Khattab r.a)

Antara tanda-tanda orang yang bijaksana:
1. Hatinya selalu berniat suci
2. Lidahnya selalu basah dengan zikrullah
3. Matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa)
4. Segala perkara dihadapi dengan sabar dan tabah
5. Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.
(Sayidina Uthman bin Affan)

Monday, August 29, 2011

Berakhirnya Ramadhan Syawal Menjelma

Dari detik ke detik saat ke saat dan hari silih berganti malam dan siang dari tahun ke tahun, kini syawal muncul kembali. Di bulan yang mulia ini kita semua akan menyambut Aidilfitri hari kemenangan buat umat Islam setelah selesai menjalani sebulan ibadat puasa di bulan Ramadhan al Mubarak.

Dalam meraikan sambutan Hari Raya Fitrah ini, kita semua digalakkan untuk tidak boros dalam berbelanja kerana itulah yang diajar oleh rasul tercinta. Sikap boros sebenarnya tidak disukai oleh Allah kerana ia boleh mengundang kesusahan kepada sesiapa sahaja. Oleh itu, berwaspada lah kita di dalam berbelanja dalam meraikan syawal yang bakal menjelma ini.

Bersempena menyambut Aidilfitri ini kita digalakkan saling kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi supaya silaturrahim kekal terjalin di antara sesama kita. Dan juga bagi mereka yang miskin marilah kita sama-sama saling membantu mereka semoga hidup kita semua senantiasa dalam limpahan rahmat dari Allah Tuhan Yang Maha Esa. Sesungguhnya rahmat Ilahi yang kita selalu dambakan di kehidupan yang fana ini semoga ianya terus berkekalan sehingga ke negeri abadi kelak.

Monday, August 22, 2011

Lailatul Qadar Malam Istimewa

Kini kita sudah pun berada di fasa terakhir bulan yang agung ini, iaitu di fasa 10 hari terakhir di bulan Ramadhan al Mubarak yang mulia ini. Giatkanlah usaha mu dalam mengerjakan ibadat kepada Allah s.w.t di malam hari dengan mengerjakan qiamullai berterusan sehingga berakhir nya bulan yang mulia ini kerana di 10 malam terakhir ini tersembunyi satu malam yang nilai pahala ibadat di malam itu melebihi ibadat seribu bulan. Itulah malam yang istimewa iaitu lailatul qadar yang dianugerah kan buat umat pilihan ini umat rasul tercinta, umat Nabi Muhammad s.a.w.

Marilah kita sama-sama renungi firman Allah dalam kitab Nya yang mulia yang menceritakan tentang malam al qadar ini. Firman Allah di dalam surah al-Qadr yang bermaksud;

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam qadar. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?. Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Roh ( Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.
(Surah al-Qadr ayat 1-5)

Oleh itu, rebutlah peluang di malam yang mulia ini yang hanya datang setahun sekali di bulan yang agung ini sahaja dengan mengerjakan ibadat kepada Allah sebanyak yang mungkin. Moga-moga kita adalah di antara mereka yang diberi anugerah untuk bertemu dengan Lailatul Qadar ini.Insya Allah.

Sunday, August 14, 2011

Ramadhan Syahrul Qur’an

Sekarang kita berada hampir di pertengahan di bulan Ramadhan Al-Mubarak, dan memasuki fasa kedua di bulan ini yang mana Allah janjikan keampunanNya buat insani di fasa ini. Oleh itu, pertingkatkan amal ibadat mu dan kuatkan keimanan dalam menjalankan ibadah dan yang paling penting adalah istiqamah dalam melaksanakan ibadah. Gunakan lah setiap detik dan ketika di hari-hari di bulan Ramadhan yang masih berbaki ini dengan mengerjakan segala amal ibadah yang di tuntut baik amalan wajib ataupun amalan sunat.

Dalam beberapa hari lagi kita bakal menyambut Hari Nuzul Al-Quran iaitu 17 Ramadhan nanti, yang mana ia merupakan tarikh yang bersejarah di dalam kalendar umat Islam, kerana pada hari itulah Al-Quranul karim mula-mula diturunkan.Oleh itu duhai sahabatku, perbanyakkan membaca al-Quran kerana dengannya kita akan mendapat kebaikan yang banyak baik kehidupan di dunia ini, ataupun kehidupan di akhirat nanti yang kekal abadi buat selama-lamanya.

Semoga kita semua dapat mengharungi Ramadhan tahun ini dengan penuh kejayaan dan ingatlah bahawa Allah tidak pernah mensia-siakan amalan hambaNya yang ikhlas beribadat kepadaNya. Semoga kita semua senantiasa dalam rahmat dan perlindungan dariNya, Tuhan Yang Maha Agung tiada lah yang layak disembah melainkan Dia.

Saturday, August 6, 2011

Tarbiah Ramadhan

Kini kita berada di bulan yang agung Ramadhan al Mubarak. Tetamu yang hanya datang setahun sekali membawa seribu rahmat buat umat pilihan umat nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu, rebutlah seberapa banyak ganjaran pahala yang ditawarkan di sepanjang sebulan di Ramadhan ini, dan yang paling utama yang kita selalu dambakan adalah keampunan daripada Ilahi terhadap segala dosa yang telah kita lakukan di masa lampau.

Marilah kita sama-sama renungi firman Allah yang termaktub di dalam kitabNya yang mulia mengenai ibadah puasa yang diwajibkan ini. FirmanNya yang bermaksud;

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,
(Al-Baqarah ayat 183)

Sebenarnya ibadah puasa di bulan Ramadhan merupakan satu proses tarbiah bagi umat Islam untuk mendidik jiwa menjadi insan yang benar-benar memiliki sifat taqwa yang sebenar-benarnya di sisi Tuhan Yang Maha Esa. Oleh itu, lakukanlah ibadah ini dengan sebaiknya moga-moga sifat yang mulia ini yakni sifat taqwa yang sebenar-benarnya dapat kita miliki dan dapat kita bajai nya selalu sehingga ke akhir hayat kita.

Semoga kita semua dapat mengharungi bulan ini dengan penuh kejayaan dan ingatlah selalu bahawa Allah amat menyayangi hambaNya yang bertakwa kepada Nya. Dan ingatlah bahawa bekalan taqwa yang kita semua inginkan untuk dibawa mengadap Allah apabila saat dan ketika nya tiba di saat kita kembali kepadaNya.

Sunday, July 31, 2011

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Kini sya’ban sampai ke penghujung nya dan bulan Ramadhan yang penuh barakah bakal menjelma. Kita seharusnya menunggu kedatangan bulan agung ini dengan penuh persediaan moga-moga kita akan bersedia dalam mengharungi nya sehingga ke penghujung nya nanti.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh barakah yang dikhususkan hanya untuk umat Nabi Muhammad s.a.w. Kita seharusnya berasa bertuah kerana di anugerahkan bulan yang agung ini, oleh itu manfaatkanlah di setiap detik dan waktunya di dalam bulan ini dengan perkara ibadat dan juga perkara kebaikan yang mana pahala nya akan dilipat gandakan berbanding ibadat dan kebaikan di bulan-bulan yang lain.

Ingatlah, mungkin bulan ramadhan di tahun ini adalah bulan ramadhan terakhir dalam hidup kita, tiada siapa yang tahu, hanya Allah sahajalah yang mengetahui segala-galanya. Oleh itu, di kala kita masih diberi kesempatan untuk masih bertemu dengan bulan ini, rebutlah peluang ini dengan sebaiknya. Moga-moga apabila syawal menjelma nanti segala dosa-dosa kita sudah diampunkan oleh Allah s.w.t.

Friday, July 22, 2011

Keindahan Alam Ciptaan Allah

Kulihat di langit nan tinggi bintang-bintang bergemerlapan menghiasi langit malam ku. Diri ini kerdil dibandingkan kekuasaan Tuhan Yang Maha Esa yang menciptakan seluruh alam yang luas ini dari tujuh petala langit dan tujuh petala bumi serta yang berada di antara keduanya dan seluruh isi dunia ini. Maha Suci Allah yang menciptakan bumi ini yang terbentang luas dan langit sebagai atap tanpa bertiang, sesungguhnya ku tunduk akur dengan kekuasaanMu Ya Rabbi.

Ingatlah duhai insani, sesungguhnya Allah tidak menjadikan alam ini sia-sia. Setiap yang diciptakan mempunyai manfaat yang tertentu untuk kita semua yang masih lagi menghuni dunia yang sementara ini sebelum dijemput kembali kehadrat Nya. Oleh itu, marilah kita sama-sama bertafakur sejenak memikirkan kehebatan ciptaan Allah Yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sesungguhnya segala ciptaan Allah cukup indah dan tiada taranya. Hanya milikNya jualah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Kita hanyalah makhluk Allah yang kerdil dari sekalian ciptaan Allah yang lain. Namun ingatlah kita adalah sebaik-baik ciptaan yang diberi amanah untuk mentadbir dunia ini sesuai seperti apa yang diperintahkan olehNya. Oleh itu, tunaikan lah amanah ini dengan sebaiknya sementara diri ini masih lagi dihidupkan untuk menghirup udara dunia yang fana ini.

Ingatlah sesungguhnya dunia ini adalah sementara sifatnya. Alam yang kekal abadi adalah di alam akhirat sana. Oleh itu, gunakanlah kesempatan hidup di dunia ini dengan memperbanyakkan amal soleh moga-moga diri kita tergolong di kalangan mereka yang memperoleh kejayaan hidup di negeri akhirat yang kekal abadi buat selama-lamanya.

Friday, July 15, 2011

Merenung KebesaranMu Ya Ilahi

Subhanallah dan segala puji bagi Allah Rabbul alamin, ku melihat kebesaran Mu Ya Rabbi dengan penuh ketakjuban. Kilauan cahaya bintang yang bergemerlapan di malam hari sungguh indah di pandangan mata. Ini lah bukti keagungan dan kekuasaan Allah yang menciptakan manusia dan seluruh alam maya yang luas ini. Betapa hebat nya ciptaan Tuhan Yang Maha Kuasa. Ku tunduk akur dengan kekuasaanNya dan kusedari diri ini lemah dan tidak berdaya tanpa pertolongan Nya, Tuhan Yang Maha Esa yang menciptakan segala sesuatu di alam ini.

Ingatlah duhai teman, kita hanyalah insan yang diciptakan oleh Allah untuk menghuni alam ini buat satu tempoh sebelum kembali mengadapNya. Oleh itu, dalam mengharungi kehidupan duniawi, jangan sesekali alpa dengan suruhanNya dan hindari lah segala laranganNya, semoga kehidupan kita ini senantiasa di bawah lindungan rahmat dariNya sehingga kita kembali menemuiNya nanti. Ingatlah duhai teman sesungguhnya pertemuan itu pasti berlaku, itulah janji Pencipta kita buat kita semua dan yang pasti janji itu ada lah benar dan bakal terjadi pada satu waktu yang telah ditetapkan.

Duhai teman, muhasabah dirimu sebelum terlambat. Guna kan kesempatan daripada umur mu yang masih berbaki ini dengan menginsafi segala keterlanjuran diri di masa lalu, semoga dikau dapat memperbaiki diri ke arah yang lebih baik buat masa hadapanmu nanti. Semoga kita semua di dalam lindungan Allah selalu di kehidupan ini dan di alam kekal abadi nanti.

Friday, July 8, 2011

Di Kedaifan Ini

Di kedaifan ini ku menunggu saat bertemu denganNya,Tuhan pentadbir alam maya yang mentadbir alam yang penuh keindahan ini. Ku meratapi segala penyesalan di atas segala kekhilafan yang daku lakukan sepanjang mengharungi kehidupan di bumi Mu Ya Allah. Apa yang daku harapkan adalah keampunan dariMu di kehidupan ini dan kehidupan di alam sana yang kekal abadi buat selama-lamanya.

Ya Rabb Tuhan pentadbir seluruh maya, ku memohon ke hadrat Mu semoga dilindungi daku daripada segala mara bahaya yang datang dan yang bakal datang menimpa. Sesungguhnya hanyalah kepada Mu daku meminta pertolongan di kehidupan yang penuh pancaroba ini. Engkau lah Tuhan yang wajib di sembah dan tiada lah layak disembah selain dariMu Ya Rabb, Tuhan yang mentadbir seluruh alam. Segala pujian hanyalah layak bagiNya jua.

Ya Rabb, ku menadah tangan memohon semoga kehidupan ku ini senantiasa di bawah naungan rahmat Mu. Daku hanyalah insan kerdil yang masih dihidupkan sementara waktu di bumi Mu ini sebelum dijemput bertemu denganMu nanti. Ya Rabb, ku menanti saat pertemuan itu berlaku dan semoga di saat itu daku mendapat pengampunan di atas segala kesalahan yang ku lakukan semasa hidup di bumi Mu ini, tempat kediaman sementara insani sebelum berpindah ke alam akhirat sana yang kekal abadi kelak.