Friday, December 31, 2010

Bingkisan Tahun 2011 M


Masa pantas bergerak, tahun yang sudah meninggalkan kita dan tahun baru kini menjelma. Oleh itu, muhasabah lah diri semoga segala pengalaman silam bakal menjadi teladan dan sempadan buat kita semua. Ingatlah duhai temanku, masa tidak akan berhenti, tapi terus berjalan sehingga ke penghujung detik kehancuran dunia ini.

Sesungguhnya tahun silih berganti, muhasabahlah dirimu duhai temanku adakah kita sudah memanfaatkan waktu yang sudah dengan sebaiknya. Buatlah perancangan dengan penuh berhikmah moga di tahun baru ini kita mulakan azam yang baru dan rencana lah ia dengan sebaik-baiknya. Ingatlah kita bakal menghadapi suka dan duka dalam melakasanakan azam kita ini. Sesungguhnya suka dan duka adalah lumrah kehidupan insani di dunia ini di mana kita tidak boleh terlepas daripada melaluinya sepanjang hayat kita di dunia yang sementara ini . Oleh itu, hadapilah ia dengan penuh kesabaran di kala duka melanda dan zahirkanlah kesyukuran buat Ilahi di kala kita dalam kegembiraan.

Akhirul kalam, ingatlah duhai temanku, masa adalah kehidupan di mana jika kita mensia-sia kan masa bermakna kita telah menjadikan kehidupan kita dalam kerugian. Oleh itu, manfaatlah ia dengan sebaik-baiknya diketika jasad di kandung badan moga-moga kita tidak menyesali nya di ketika kita di bangkitkan bertemu dengan Allah di alam akhirat sana.

Monday, December 20, 2010

Hujan Membasahi Bumi

Hujan turun mencurah-curah, diselangi ribut petir dan guruh berdentum serta kilat sabung- menyabung. Suasana pemandangan di persekitaran gelap dinaungi awan hitam yang tebal yang menurunkan hujan membasahi bumi yang tandus. Hujan adalah rahmat daripada Ilahi buat penduduk bumi, menyuburkan tanaman yang menghijau, menyejukkan kehangatan insan yang panas dek bahang sang suria. Hujan jua lah boleh mengakibatkan bahana banjir di tanah yang rendah. Itulah hujan ada ketika turun sebagai rahmat dan ada jua waktu nya merupakan menjadi bencana kepada penduduk bumi.

Ayuh duhai insan, bersyukur lah dengan kurniaan Ilahi ini, yang menurunkan hujan sebagai nikmat dan rahmat kepada kita semua. Bayangkan jika di dunia ini tanpa hujan, nescaya akan musnah lah kehidupan di muka bumi ini. Seluruh makhluk akan mati kerana kepanasan dan terputusnya bekalan makanan untuk kesinambungan kehidupan mereka. Namun, masih ada insan yang tidak bersyukur dengan kurniaan ini malah ada yang menyalahkan nikmat hujan kerana mengganggu urusan duniawi mereka. Sedarlah duhai insan, percayalah bahawa setiap kurniaan Ilahi adalah untuk kesenangan manusia dan mempunyai hikmah yang penuh tersirat dan tersurat jika kita fikirkan nya secara mendalam.

Di ketika hujan turun mencurah, sama-samalah kita memanjat sekalung doa memuji memuja Ilahi bersyukur di atas segala rahmat yang dikurniakan kepada kita semua. Duhai tuhanku sesungguhnya rahmatMu meliputi segala-galanya, daku tunduk patuh dengan penuh kerendahan hati menghadap diriMu.

Wednesday, December 15, 2010

Peristiwa Penting Pada 10 Muharam


Hari Asyura iaitu pada tanggal 10 Muharam merupakan hari yang mempunyai sejarah yang tersendiri di dalam Islam. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.

2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.

3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.

4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.

5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.

6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.

7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkan Allah.

8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.

9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.

10.Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.

11.Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.

12.Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.

13.Hari pertama Allah menciptakan alam.

14.Hari pertama Allah menurunkan rahmat.

15.Hari pertama Allah menurunkan hujan.

16.Allah menjadikan 'Arasy.

17.Allah menjadikan Luh Mahfuz.

18.Allah menjadikan alam.

19.Allah menjadikan Malaikat Jibril.

20.Nabi Isa diangkat ke langit.

Tuesday, December 14, 2010

Taman Syurgawi

Ku telusuri jalan di tengah-tengah hiruk pikuk kesibukan bandar, alangkah gusar hati ku ini dengan suasana persekitaran bandar yang amat sibuk yang dapat ku lihat. Udaranya cukup mengancam sesiapa sahaja yang bernafas. Udaranya yang penuh dengan pencemaran daripada asap-asap kenderaan yang bergerak bertali arus.

Namun berlainan pula ku dapati bila daku melalui jalan-jalan yang di kiri kanan ku di penuhi taman-taman yang indah dihiasi bunga-bungaan yang berwarna-warni dan dedaunan yang menghijau yang cukup menenangkan jiwa ini. Inilah dia keindahan taman di dunia yang menyejukkan mata sesiapa yang memandangnya. Namun begitu, untuk memastikan keindahan taman ini terus terpelihara, usaha dalam memeliharanya wajib dilakukan selalu dan berutin. Di ketika ini jua lah daku menyedut udara yang nyaman di taman ini, udara yang cukup bersih. Inilah dia taman di dunia yang diciptakan oleh Allah Rabbul Jalil buat insan sementara menghuni di dunia yang fana ini. Moga-moga diri kita semua di kurniakan taman yang kekal abadi di alam sana, di alam akhirat sana yakni syurga yang penuh dengan kenikmatan yang di anugerahkan buat insan yang soleh yang menuruti segala perintahNya di kala hidup di alam dunia ini. Taman syurgawi di alam akhirat sana akan dihuni oleh para solihin buat selama-lamanya dilimpahi kenikmatan yang abadi yang tiada penghujungnya.

Oleh itu, duhai insani lakukanlah amalan soleh di ketika kita masih di beri kesempatan untuk menghuni dunia ini. Semoga kita dapat mengecapi kenikmatan yang abadi di syurga di alam sana. InsyaALLAH.

Monday, December 13, 2010

Rimba Maya

Alangkah hebat nya ciptaan Yang Maha Kuasa, dijadikan gunung ganang sebagai pasak bumi, langit sebagai bumbungnya tanpa bertiang dan lautan kebiruan di mana keluasannya sejauh mata memandang. Indah sungguh ciptaan tuhanku ini. Ku tunduk akur dengan kebesaranNya Ya Ilahi.

Di rimba maya pula, pelbagai kehidupan menghuni di sana. Sang mergastua berkeliaran ke sana ke sini di rimba yang penuh kehijauan ini. Kicauan sang burung seolah-olah mengalunkan satu irama yang merdu memecahkan kesunyian rimba maya ini. Kelihatan dedaunan kehijauan menambahkan lagi keindahan alam rimba ini. Namun, ada segelintir tangan-tangan manusia yang durjana telah memusnahkan hampir di segenap penjuru rimba ini dek kerakusan mereka untuk memiliki kekayaan duniawi. Ini lah manusia bila nafsu menguasai diri, akal lumpuh tidak berfungsi lagi, yang diinginkan adalah untuk kepuasan dirinya dengan tidak memikirkan lagi kesan kemusnahan terhadap manusia lain.

Ku mengharapkan rimba ini kan kembali kepada suasana asal, suasana sebelum di jelajahi oleh tangan-tangan si manusia durjana. Ayuh duhai insani, sama-sama lah kita memelihara khazanah alam yang tidak ternilai ini. Janganlah kita sia-sia kan pemberian tuhan ini. Allah mengurniakan rimba ini bukan untuk kita musnahkan nya tetapi supaya kita memeliharakannya sesuai dengan syariat yang diperintahkan olehNya. Moga-moga hidup kita senantiasa dirahmati olehNya, InsyaAllah.

Tuesday, December 7, 2010

Lembaran Baru Hijrah- 1432 H


1 Muharam 1432 Hijrah, tahun permulaan Hijrah membuka lembaran baru kehidupan insani. Bukakan langkahmu moga-moga tahun ini lebih baik tahun yang sebelum nya. Ingatlah duhai temanku tahun sudah telah meninggalkan sejarah buat kita semua. Segala yang telah berlaku haruslah dijadikan iktibar buat teladan di kehidupan yang mendatang.

Sematkanlah di hatimu azam yang baru, semoga tahun ini bakal menjadikan tahun kehidupan yang lebih baik daripada tahun sudah. Manfaatkanlah setiap detik di tahun ini supaya segala amalan yang kita semua lakukan menjurus kepada perkara kebaikan dan mendekatkan kan diri kepada Allah azzawajalla. InsyaALLAH.

Ingatlah duhai temanku, tuhan menciptakan waktu untuk diuruskan dengan penuh berhikmah dan moga-moga natijah daripada perbuatan kita ini, kita dapat mengecapi kejayaan hidup di dunia ini lagi dan kejayaan di kehidupan abadi di negeri akhirat kelak. Ameen Ya Rabbal Alamin.

SALAM MAAL HIJRAH

Monday, December 6, 2010

Kedinginan Bayu

Angin lembut sifatnya, kedinginan nya menyapa di kedua pipi ku. Ia tidak kelihatan namun, sentuhannya dapat ku rasai. Itulah bukti kewujudan nya di alam ini. Angin sepoi- sepoi bahasa bertiup di tepian pantai mewujudkan suasana yang permai diwarnai keindahan lautan yang membiru dan pepasir yang memutih.

Pemandangan pantai memang indah di mana keindahan nya dapat menenangkan jiwa yang keresahan. Melapangkan fikiran yang bercelaru dalam mengharungi keributan duniawi yang penuh hebat liku pancaroba nya ini. Di sini jualah ilham turun mencurah buat sang penyair bagi melakar syair yang indah buat coretan mereka dan untuk tatapan sang pencinta bahasa. Indah nya alam ciptaan tuhan di mana panorama nya cukup harmoni. Ku panjat kesyukuran yang tidak terhingga banyaknya sebanyak buih di lautan, namun daku percaya ianya belum mampu membalas lautan nikmat kurniaan Ilahi buat diriku yang dihidupkan di muka bumi ini.

Maha Suci Allah yang menghidupkan kita dan bakal mematikan kita dan kita akan dihidupkan kembali di padang Mashyar kelak. Oleh itu persiapkanlah amal kebaikan di dunia ini semoga kita mendapat perlindungan di sana nanti di mana tiadalah perlindungan melainkan daripada Dia Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Kuasa di atas tiap-tiap sesuatu.

Wednesday, December 1, 2010

Pusingan Roda Kehidupan

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini bagaikan roda, sekali kita berada di atas di mana kita mengecap kesenangan dan sesekali kita berada di bawah, di mana kita di uji dengan bala bencana daripada tuhan semesta alam yang mentadbir seluruh alam maya. Oleh itu, di ketika kita mendapat kemewahan dunia daripada Allah, jangan lah kita lupa kepadaNya dan lahirkan kesyukuran buatNya. Dan di kala kita di uji dengan pelbagai dugaan, yakinlah bahawa ujian tersebut adalah sebagai tarbiah untuk kita memupuk sifat yang mulia yakni sifat sabar menghadapi rintangan duniawi. InsyaAllah kita akan senantiasa dirahmati olehNya di dunia dan akhirat.

Duhai temanku, ingatlah roda kehidupan kita senantiasa berputar sehingga lah sampai saat dan ketikanya kita kembali kepada Yang Maha Esa dan kita tidak akan kembali lagi ke dunia ini buat selama-lamanya. Sesungguhnya peluang untuk setiap insan menghuni di dunia yang fana ini hanya diberikan sekali sahaja. Oleh itu, hadapilah ia dengan sebaik yang mungkin moga-moga kita mendapat kejayaan hidup di dunia dan di tempat kembali kita kelak di negeri akhirat yang kekal abadi. Hayatilah firman Allah dalam surah al-Mulk yang yang bermaksud:

Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun
Surah al-Mulk -Ayat 2

Sesungguhya Allah s.w.t menjadikan kehidupan dan kematian adalah untuk menguji manusia, siapakah di atara manusia ini lebih baik amalnya semasa hayat mereka di dunia ini. Oleh itu duhai temanku, pertingkatlah kualiti amalmu sepanjang kehidupanmu di dunia ini, moga-moga dikau dapat mempersembahkan amalan yang terbaik untuk tuhanmu di saat pertemuan kamu denganNya. Yang pasti pertemuan itu akan berlaku dan pasti akan berlaku.

Moga-moga kita semua senantiasa mendapat petunjuk daripada Allah Azzawajalla di dunia ini dan di akhirat kelak bakal mendapat balasan yang baik sebagai ganjaran terhadap amalan baik yang kita kerjakan sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini . InsyaAllah.