Monday, November 29, 2010

Kembara Musafir


Dikala ini ku merenung sendirian
Memikirkan nasib di perantauan
Apakah mungkin ku dapatkan bekalan
Buat menemui Rabbku Tuhan sekelian alam

Di perjalanan ini ku meniti
Pelbagai onak dan duri ku tempuhi
Segala rintangan kuredahi
Bersama semangat yang tak kunjung padam

Namun kupastikan jalan ini
Bakal membahagiakan daku
Di negeri abadi di akhirat sana
Dilimpahi nikmat kurniaan ilahi

Sunday, November 28, 2010

Perhiasan Duniawi

Wanita diciptakan sebagai pasangan untuk kaum Adam menghuni dunia yang maha sementara ini. Dirimu diciptakan daripada tulang rusuk Adam yang bengkok. Itulah dirimu, lemah lembut sifatnya tetapi setia di sisi kaum Adam. Dirimu lah perhiasan duniawi yang menyerikan lagi dunia ini untuk kehidupan insani.

Tanpamu hilang lah keindahan dunia dan tidak akan lengkaplah dunia ini laksana cincin tanpa permata. Namun sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah, bukan kerana hartamu yang bertimbun-timbun dikau miliki, bukan nya keturunan mulia yang dikau warisi dan juga bukannya paras rupa yang cantik bak bidadari yang engkau miliki, tetapi budi pekerti dan akhlak mulia dan pegangan teguhmu terhadap agama itulah yang menaikkan darjat mu sebagai sebaik-baik perhiasan duniawi yang tiada nilai nya dan amat berharga di sisi tuhan Yang Maha Esa.

Duhai insan yang bernama wanita, hiasilah peribadi mu dengan akhlak yang luhur dengan mencontohi srikandi silam di zaman awalan Islam hasil didikan kenabian. Duhai wanita, kerana mu lah generasi mendatang dilahirkan untuk meneruskan kesinambungan zuriat manusia bagi memakmurkan bumi ini sesuai dengan syariat Islam. Oleh itu, didiklah putera puteri mu dengan acuan Islam yang sejati bergandingan dengan kaum Adam supaya sempurna lah didikan itu. Daku mengharapkan akan lahirlah kaum hawa yang mempunyai jiwa yang kental setanding dengan srikandi Islam silam di zaman ini di zaman di mana dunia bakal menemui penghujung nya. Ameen.

Saturday, November 27, 2010

Permata Ayah dan Bonda

Adab Anak Terhadap Ibubapa

Adab anak terhadap ibubapa itu ada beberapa perkara. Tetapi Imam al-Ghazali yang dirahmati Allah Taala menyebutkanya di dalam Kitab Bidayatul Hidayah 10 Perkara seperti berikut:

1. Ia hendaklah mendengar dan menurut segala perkataan ibubapanya. Segala suruhan ibubapa wajib diterima dan haram menyalahinya dan segala yang ditegah wajib dijauhinya.

2. Ia hendaklah berdiri ketika ibubapanya berdiri kerana mentakzimkanya.

3. Jangan berjalan di hadapan ibubapanya.

4. Jangan mengangkat suara mengatasi suara ibubapanya.

5. Apabila ibubapa memanggilnya hendaklah dijawab dengan sopan, seperti dijawabnya dengan sesuatu yang memberitahu bahawa ia ‘membesarkan’ ibubapanya seperti لبيك(Saya datang) atau نعم (Ya) atau سيدي (Tuan) atau سيدثي (Puan), jika dengan bahasa Arab.

6. Ia hendaklah bersungguh-sungguh memelihara bagi mendapatkan keredhaan ibubapanya daripada perkataan dan perbuatan serta merendah dan menghinakan diri bagi ibubapanya.

7. Jangan mengungkit terhadap kedua-dua ibubapa dengan sebab berbuat kebajikan bagi mereka dan dengan sebab memelihara sekalian pekerjaan bagi mereka.

8. Jangan memandang mereka berdua dengan pandangan yang menyakiti mereka atau dengan pandangan marah terhadap mereka.

9. Jangan memasam muka di hadapan ibubapa kerana marah kepada mereka.

10.Jangan bermusafir melainkan dengan izin kedua ibubapa, kecuali musafir itu bagi menunaikan haji yang fardu ain ke atasnya, maka ia tiada berkehendakkan kepada keizinan kedua ibubapanya, tetapi sunat ia meminta izin kedua-dua ibubapanya. Adapun musafir bagi melakukan haji yang sunat atau yang fardu kifayah maka ia tiada harus melainkan dengan keizinan kedua-dua ibubapanya. Dan demikian juga musafir bagi menziarahi makam anbia dan aulia dan sebagainya tiada harus melainkan dengan keizinan kedua-dua ibubapanya, tetapi harus musafir bagi menuntut ilmu tanpa keizinan kedua-dua ibubapanya.

Allah jua yang memberi petunjuk.

Dipetik daripada Kitab Hidayah Salikin

Friday, November 26, 2010

Bintang Yang Bergemerlapan

Sang mentari melabuhkan tirai nya dan cahaya nya semakin pudar di ufuk Barat. Kicauan burung semakin sayup kedengaran berterbangan pulang ke sarang. Siang berganti malam, di mana sang mentari hilang dan sang rembulan datang. Inilah lumrah alam ciptaan Tuhan Yang Maha Esa. Ku tunduk tafakur menghadapNya dengan penuh rasa kerendahan hati.

Tabir malam akan dibuka melengkapkan putaran waktu ketentuan Ilahi. Suasana malam cukup mendamaikan jiwa di mana ketenangan nya pasti merehatkan insan yang kepenatan dalam mencari sesuap rezeki di siang hari. Malam diciptakan untuk kedamaian dan bermunajat merintih menghadap Pencipta alam maya ini. Usah lah ditangisi perginya siang kerana malam bakal menggantikannya. Semua ini adalah tanda kekuasaan Ilahi buat manusia untuk direnung dan difikir bagi menghadapi kehidupan di dunia yang maha fana ini.

Di ketika ini lah daku bertafakur sejenak memikirkan kehebatan alam ciptaan yang Maha Kuasa. Nun di langit sana bergemerlapan bintang-bintang yang cahayanya bak pelita menghiasi langit malam ku ini. Sungguh indah ciptaan Ilahi, siang diterangi cahaya mentari dan malam di hiasi bintang bercahaya terang berpadu dengan cahaya rembulan. Inilah alam ciptaan tuhan, moga diriku tergolong dikalangan hambaNya yang selalu bersyukur. Ameen.

Thursday, November 25, 2010

Sedetik Waktu Berlalu

Masa berlalu begitu pantas, setiap detik setiap ketika dari hari ke hari dan minggu ke minggu berlalu tanpa kita sedari. Bagi mereka yang mementingkan waktu, waktu di ibarat kan bagaikan emas seperti kata pepatah melayu ‘masa itu emas’. Sesungguhnya masa amat bernilai dalam kehidupan kita sebagai seorang insan yang hidup di atas muka bumi ini. Masa jua adalah kehidupan di mana berlalu nya ia akan meninggalkan kenangan silam buat insani.

Oleh itu, ayuhlah duhai insani, manfaatlah setiap detik yang kita tempuhi dan bakal kita lalui nanti dengan perkara-perkara kebaikan yang mendatangkan manfaat buat kita di kehidupan sana yang kekal abadi buat selama-lamanya. Kenangan silam yang kita telah lalui, eloklah diambil iktibar dan pengajaran dalam mengharungi hari-hari yang mendatang. Moga-moga kenangan yang lampau dapat mematangkan kita dalam menempuh hari esok yang penuh pancaroba lagi.

Setiap insan tidak akan terlepas dengan mehnah duniawi dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Kekuatan iman dan kesabaran adalah senjata dalam menangani nya. Bagi mereka yang berjaya mengharunginya bakal di beri ganjaran yang besar semasa hayat di dunia dan apabila kembali nya mengadap Allah di negeri akhirat sana. Ayuh temanku, tingkat kan kesabaran mu dalam menghadapi ujian duniawi moga-moga hidup kita sentiasa dirahmati oleh Nya.

Wednesday, November 24, 2010

Menuju ke Alam Yang Hakiki

Kita adalah sang pengembara dalam berkelana menuju ke alam abadi. Semoga di sepanjang pengembaraan ini kita di hadiahkan sifat sabar dalam menghadapi mehnah ujian dan segala aral melintang bakal kita tempuhi dengan penuh kejayaan. Tujuan perjalanan ini adalah untuk menemui Allah Rabbul Alamin, Tuhan sekalian alam ini. Oleh itu, kita haruslah berserah diri kepadaNya agar perjalanan kehidupan ini senantiasa dalam redhaNya. InsyaALLAH.

Setiap insan dianugerahkan masa yang berlainan dalam pengembaraan ini, di mana ada yang panjang masanya dan ada yang terlalu pendek. Semua itu merupakan ketentuan dari Ilahi dan dalam ilmuNya sejak daripada azali lagi. Oleh itu, duhai insan manfaatkanlah masamu yang masih berbaki sekarang yang bila-bila masa ajal mu bakal menjemput mu untuk mengadap tuhanmu. Hadapilah hari-hari mendatang dengan penuh keinsafan untuk mencari seberapa banyak bekalan yang bakal dibawa mengadap tuhanmu nanti.

Muhasabah lah dirimu, moga-moga ianya masih belum terlambat untuk dikau berpaling kepada kebenaran yang hakiki. InsyaALLAH semoga diri kita sentiasa dalam perlindungan dariNya dan mendapat maghfirah di atas segala kekhilafan yang kita lakukan.