Wednesday, June 29, 2011

Perjalanan Agung

Sesungguhnya Israk Mikraj adalah satu perjalanan agung yang diatur oleh Allah buat insan mulia kekasih Allah Nabi Muhammad s.a.w. Inilah jua bukti keagungan kuasa Allah yang meliputi segala-galanya dan kita haruslah akur dengan kekuasaanNya.

Duhai teman, marilah sama-sama kita renungi firman Allah yang termaktub dalam kitabNya yang mulia- al Quranul karim yang berkaitan dengan peristiwa agung ini;

Maha Suci (Allah) yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda ( kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.
(Surah al-Israk – ayat 1)

Dengan berlakunya peristiwa ini, menunjukkan kekuasaan Allah ke atas nabi pilihan Nya yang merupakan nabi bagi umat akhir zaman dan sebagai penghulu bagi sekalian nabi dan rasul yang diutuskan sejak diciptakan Adam ke dunia ini lagi.

Duhai temanku, renungilah peristiwa agung ini dan ambillah pengajaran yang berguna dari nya moga-moga kita semua mendapat manfaat nya dan ingatlah bahawa Allah Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Dialah yang menciptakan kita dan segala makhluk yang ada di dunia ini dan mentadbir alam yang luas ini. Allah jualah yang mengatur segala urusan hidup makhluk–Nya bernama insan sejak kita dilahirkan ke dunia ini kemudian dimatikan dan seterusnya dibangkitkan kembali sehingga lah menuju ke destinasi terakhir samada syurga yang penuh kenikmatan ataupun neraka yang penuh dengan azab dan seksaan. Semoga kita semua tergolong di kalangan mereka yang menghuni syurga yang kekal abadi buat selama-lamanya di akhirat sana.

Thursday, June 23, 2011

Ilmu Penunjuk Jalan Kebenaran

Tuntutlah ilmu pengetahuan selagi hayat mu masih ada kerana dengan ilmu kita akan menjadi orang yang berguna dan bermanfaat kepada insan lain. Sesungguhnya ilmu itu amat luas, dan tidak tergapai oleh akal mu untuk memikirkan kesemuanya, namun berusahalah untuk mencarinya sekadar termampu moga-moga dikau akan senantiasa mendapat nikmat kejayaan hidup di dunia ini lagi.

Ingatlah duhai insani, menuntut ilmu adalah satu usaha yang mulia dan amat di sukai oleh Allah. Wahyu pertama yang diturunkan oleh Jibril kepada Nabi kita Muhammad s.a.w adalah tentang ilmu iaitu lima ayat yang pertama dalam surah al-Alaq yang merupakan teras kepada ilmu pengetahuan yang terhasil di dunia ini dan di negeri akhirat nanti. Mari lah kita sama- sama renungi firman Allah dalam surah Al-Alaq ini seperti yang termaktub dalam A l-Quranul karim;

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan-mu yang Menciptakan, Dia telah Menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhan-mu lah Yang Maha Mulia. Yang Mengajar (manusia) dengan pena. Dia Mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Maha Suci Allah yang menjadikan kita makhluk yang dikurniakan akal fikiran. Moga-moga kita dapat menggunakan nya dengan sebaiknya dalam mencari ilmu yang bermanfaat di dunia ini. Semoga dengan ilmu itu dapat menjadi penunjuk jalan kita ke syurga di negeri akhirat yang kekal abadi buat selama-lamanya…

Thursday, June 16, 2011

Meniti Ranjau Kehidupan

Burung-burung berterbangan riang di ruang angkasa nan indah. Langit yang kebiruan dihiasi awan putih menyerikan lagi suasana keindahan langit petang ku ini. Duhai Tuhanku, ku akur dengan kebesaranMu. Hanyalah Dikau lah yang selayak nya disembah dan hanya kepada Mu lah jua daku memohon pertolongan dalam melayari bahtera kehidupan ini yang senantiasa dilanda badai mehnah duniawi.

Sesungguhnya, dalam mengharungi ranjau kehidupan ini, kita tidak akan lari daripada menghadapi ujian hidup. Oleh itu, senantiasa lah bersabar semoga kita kan sentiasa beroleh keberuntungan semasa hayat kita di dunia yang fana ini dan di alam akhirat yang kekal abadi buat selama-lamanya.

Ingatlah duhai teman, ujian merupakan tarbiah daripada Ilahi buat insani di alam yang fana ini.Duhai temanku, tabahkan hati mu di kala ujian menimpa kerana dikau akan merasai kemanisan nya di alam dunia ini lagi dan di alam selepas mati mu nanti. Semoga kita semua beroleh kejayaan dalam meniti kehidupan yang fana ini dan di alam akhirat sana.

Thursday, June 9, 2011

Seruan Azan

Cuaca di petang hari tiba-tiba redup, angin sepoi-sepoi bahasa bertiup di mana kedinginan nya amat terasa menyapa ke pipi ini. Kedengaran laungan azan memecah kesunyian di petang hari menandakan waktu solat Fardu Asar telah masuk. Ku tersentak daripada lamunanku sebaik sahaja laungan azan bergema menerjah masuk ke telinga ku. Ayuh duhai sahabatku, sama-samalah kita menyambut seruan azan Hayya ala solah…. Hayya alal falah….. marilah menuju solat, marilah menuju kejayaan. ,moga-moga hidup kita senantiasa diberkati oleh Yang Maha Esa.

Sesungguhnya ingat lah duhai insani, seruan azan yang dilaungkan oleh bilal di masjid ataupun di surau setiap kali masuknya waktu solat adalah seruan daripada Allah. Janganlah kita alpa terhadap seruan itu walaupun sesibuk mana pun kita dengan urusan duniawi. Ayuh marilah kita sama-sama mengimarahkan masjid dengan senantiasa melakukan solat berjamaah moga-moga kita kan senantiasa dalam lindungan Ilahi dan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.

Duhai insani, muhasabah lah dirimu selalu kerana kita tidak mengetahui bila kah saat kita akan dijemput oleh Allah Rabbul Jalil. Moga-moga di ketika saat dan waktu itu tiba kita telah bersedia untuk bertemu denganNya Tuhan Pentadbir Alam Maya yang luas ini. Ingatlah bahawa pertemuan itu pasti akan berlaku dan setiap yang hidup pasti akan mengalaminya. Renungilah firman Allah di dalam surah al Fajr (ayat 27-30) yang bermaksud;

‘Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhan-mu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.

Alangkah indah kesudahan hidup kita di atas dunia ini jika kita semua tergolong dalam golongan mereka yang diredhai oleh Allah dan kita redha dengan Nya di saat pertemuan itu berlaku. Moga-moga kita semua termasuk dalam golongan yang diberi nikmat ini dan senantiasa dalam limpahan rahmat dariNya. InsyaAllah.

Thursday, June 2, 2011

Ketentuan Yang Pasti

Awan berarak mendung, angin bertiup menyapa pipiku di mana kedinginannya amat terasa. Kilat sabung menyabung di sertai dengan bunyi guruh. Cahaya sang suria semakin kelam dibayangi awan hitam. Ku menunggu dengan penuh kesabaran semoga rahmat Ilahi akan turun membasahi bumi yang tandus kekeringan. Namun, diri ini hampa apabila langit kembali cerah dan mentari mula menampakkan wajahnya. Inilah suasana yang sering berlaku di mana-mana sahaja. Tidak semua harapan kita bakal menjadi kenyataan.

Sesungguhnya ingatlah duhai insani, kita hanyalah makhluk yang diciptakan olehNya dan tiada upaya untuk melawan segala ketentuan dariNya. Kita hanya mampu merancang dan berusaha, namun Allah sahaja yang berhak menentukannya. Serahkanlah urusan hidup kita kepada Yang Maha Esa, moga-moga kehidupan kita ini senantiasa diberkati olehNya dan mendapat keredhaan dariNya selalu.

Di kala ini ku merenung sendirian, betapa banyak nikmat kurniaan Allah buat diriku. Kusyukuri segala kurniaanMu Ya Rabbi, moga-moga daku senantiasa di bawah lindungan rahmat dariMu di sepanjang daku menjalani kehidupan di dunia ini sebelum daku kembali mengadap Mu Ya Ilahi.