Monday, August 29, 2011

Berakhirnya Ramadhan Syawal Menjelma

Dari detik ke detik saat ke saat dan hari silih berganti malam dan siang dari tahun ke tahun, kini syawal muncul kembali. Di bulan yang mulia ini kita semua akan menyambut Aidilfitri hari kemenangan buat umat Islam setelah selesai menjalani sebulan ibadat puasa di bulan Ramadhan al Mubarak.

Dalam meraikan sambutan Hari Raya Fitrah ini, kita semua digalakkan untuk tidak boros dalam berbelanja kerana itulah yang diajar oleh rasul tercinta. Sikap boros sebenarnya tidak disukai oleh Allah kerana ia boleh mengundang kesusahan kepada sesiapa sahaja. Oleh itu, berwaspada lah kita di dalam berbelanja dalam meraikan syawal yang bakal menjelma ini.

Bersempena menyambut Aidilfitri ini kita digalakkan saling kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi supaya silaturrahim kekal terjalin di antara sesama kita. Dan juga bagi mereka yang miskin marilah kita sama-sama saling membantu mereka semoga hidup kita semua senantiasa dalam limpahan rahmat dari Allah Tuhan Yang Maha Esa. Sesungguhnya rahmat Ilahi yang kita selalu dambakan di kehidupan yang fana ini semoga ianya terus berkekalan sehingga ke negeri abadi kelak.

Monday, August 22, 2011

Lailatul Qadar Malam Istimewa

Kini kita sudah pun berada di fasa terakhir bulan yang agung ini, iaitu di fasa 10 hari terakhir di bulan Ramadhan al Mubarak yang mulia ini. Giatkanlah usaha mu dalam mengerjakan ibadat kepada Allah s.w.t di malam hari dengan mengerjakan qiamullai berterusan sehingga berakhir nya bulan yang mulia ini kerana di 10 malam terakhir ini tersembunyi satu malam yang nilai pahala ibadat di malam itu melebihi ibadat seribu bulan. Itulah malam yang istimewa iaitu lailatul qadar yang dianugerah kan buat umat pilihan ini umat rasul tercinta, umat Nabi Muhammad s.a.w.

Marilah kita sama-sama renungi firman Allah dalam kitab Nya yang mulia yang menceritakan tentang malam al qadar ini. Firman Allah di dalam surah al-Qadr yang bermaksud;

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam qadar. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?. Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Roh ( Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.
(Surah al-Qadr ayat 1-5)

Oleh itu, rebutlah peluang di malam yang mulia ini yang hanya datang setahun sekali di bulan yang agung ini sahaja dengan mengerjakan ibadat kepada Allah sebanyak yang mungkin. Moga-moga kita adalah di antara mereka yang diberi anugerah untuk bertemu dengan Lailatul Qadar ini.Insya Allah.

Sunday, August 14, 2011

Ramadhan Syahrul Qur’an

Sekarang kita berada hampir di pertengahan di bulan Ramadhan Al-Mubarak, dan memasuki fasa kedua di bulan ini yang mana Allah janjikan keampunanNya buat insani di fasa ini. Oleh itu, pertingkatkan amal ibadat mu dan kuatkan keimanan dalam menjalankan ibadah dan yang paling penting adalah istiqamah dalam melaksanakan ibadah. Gunakan lah setiap detik dan ketika di hari-hari di bulan Ramadhan yang masih berbaki ini dengan mengerjakan segala amal ibadah yang di tuntut baik amalan wajib ataupun amalan sunat.

Dalam beberapa hari lagi kita bakal menyambut Hari Nuzul Al-Quran iaitu 17 Ramadhan nanti, yang mana ia merupakan tarikh yang bersejarah di dalam kalendar umat Islam, kerana pada hari itulah Al-Quranul karim mula-mula diturunkan.Oleh itu duhai sahabatku, perbanyakkan membaca al-Quran kerana dengannya kita akan mendapat kebaikan yang banyak baik kehidupan di dunia ini, ataupun kehidupan di akhirat nanti yang kekal abadi buat selama-lamanya.

Semoga kita semua dapat mengharungi Ramadhan tahun ini dengan penuh kejayaan dan ingatlah bahawa Allah tidak pernah mensia-siakan amalan hambaNya yang ikhlas beribadat kepadaNya. Semoga kita semua senantiasa dalam rahmat dan perlindungan dariNya, Tuhan Yang Maha Agung tiada lah yang layak disembah melainkan Dia.

Saturday, August 6, 2011

Tarbiah Ramadhan

Kini kita berada di bulan yang agung Ramadhan al Mubarak. Tetamu yang hanya datang setahun sekali membawa seribu rahmat buat umat pilihan umat nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu, rebutlah seberapa banyak ganjaran pahala yang ditawarkan di sepanjang sebulan di Ramadhan ini, dan yang paling utama yang kita selalu dambakan adalah keampunan daripada Ilahi terhadap segala dosa yang telah kita lakukan di masa lampau.

Marilah kita sama-sama renungi firman Allah yang termaktub di dalam kitabNya yang mulia mengenai ibadah puasa yang diwajibkan ini. FirmanNya yang bermaksud;

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,
(Al-Baqarah ayat 183)

Sebenarnya ibadah puasa di bulan Ramadhan merupakan satu proses tarbiah bagi umat Islam untuk mendidik jiwa menjadi insan yang benar-benar memiliki sifat taqwa yang sebenar-benarnya di sisi Tuhan Yang Maha Esa. Oleh itu, lakukanlah ibadah ini dengan sebaiknya moga-moga sifat yang mulia ini yakni sifat taqwa yang sebenar-benarnya dapat kita miliki dan dapat kita bajai nya selalu sehingga ke akhir hayat kita.

Semoga kita semua dapat mengharungi bulan ini dengan penuh kejayaan dan ingatlah selalu bahawa Allah amat menyayangi hambaNya yang bertakwa kepada Nya. Dan ingatlah bahawa bekalan taqwa yang kita semua inginkan untuk dibawa mengadap Allah apabila saat dan ketika nya tiba di saat kita kembali kepadaNya.