Wednesday, December 1, 2010

Pusingan Roda Kehidupan

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini bagaikan roda, sekali kita berada di atas di mana kita mengecap kesenangan dan sesekali kita berada di bawah, di mana kita di uji dengan bala bencana daripada tuhan semesta alam yang mentadbir seluruh alam maya. Oleh itu, di ketika kita mendapat kemewahan dunia daripada Allah, jangan lah kita lupa kepadaNya dan lahirkan kesyukuran buatNya. Dan di kala kita di uji dengan pelbagai dugaan, yakinlah bahawa ujian tersebut adalah sebagai tarbiah untuk kita memupuk sifat yang mulia yakni sifat sabar menghadapi rintangan duniawi. InsyaAllah kita akan senantiasa dirahmati olehNya di dunia dan akhirat.

Duhai temanku, ingatlah roda kehidupan kita senantiasa berputar sehingga lah sampai saat dan ketikanya kita kembali kepada Yang Maha Esa dan kita tidak akan kembali lagi ke dunia ini buat selama-lamanya. Sesungguhnya peluang untuk setiap insan menghuni di dunia yang fana ini hanya diberikan sekali sahaja. Oleh itu, hadapilah ia dengan sebaik yang mungkin moga-moga kita mendapat kejayaan hidup di dunia dan di tempat kembali kita kelak di negeri akhirat yang kekal abadi. Hayatilah firman Allah dalam surah al-Mulk yang yang bermaksud:

Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun
Surah al-Mulk -Ayat 2

Sesungguhya Allah s.w.t menjadikan kehidupan dan kematian adalah untuk menguji manusia, siapakah di atara manusia ini lebih baik amalnya semasa hayat mereka di dunia ini. Oleh itu duhai temanku, pertingkatlah kualiti amalmu sepanjang kehidupanmu di dunia ini, moga-moga dikau dapat mempersembahkan amalan yang terbaik untuk tuhanmu di saat pertemuan kamu denganNya. Yang pasti pertemuan itu akan berlaku dan pasti akan berlaku.

Moga-moga kita semua senantiasa mendapat petunjuk daripada Allah Azzawajalla di dunia ini dan di akhirat kelak bakal mendapat balasan yang baik sebagai ganjaran terhadap amalan baik yang kita kerjakan sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini . InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment