Friday, January 28, 2011

Kelahiran Yang Dinanti

Sesungguhnya amatlah gembira bagi kedua pasangan yang bergelar suami isteri apabila dikurniakan cahaya mata. Anak merupakan permata hati buat ayah dan bonda. Kelahiran nya ke bumi ini dinantikan oleh kedua-duanya. Lahirnya ke dunia membawa rezeki dan menuntut tanggungjawab bagi ibu ayah untuk mendidiknya sehingga dewasa supaya menjadi insan yang berguna.

Anak dilahirkan ke dunia laksana kain yang putih yang bersih, tiada dosa dan noda. Ibu bapa nya lah yang bakal mencorakkan samada menjadi baik ataupun buruk di kemudian hari. Semoga kita memberi didikan kepada anak-anak kita yang baru dilahirkan sesuai seperti yang di syariatkan oleh Allah. Semoga lahirnya membawa keberkatan dan menyejukkan hati buat ayahanda dan bonda yang tercinta.
Senantiasa lah kita berdoa seperti yang dinukilkan dalam firman Allah s.w.t dalam surah Al-Furqan ayat 72 yang bermaksud;

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa”

Anak-anak yang soleh dan solehah bakal menggembirakan hati ibu bapa di dunia dan lebih-lebih lagi di negeri akhirat yang kekal abadi di sana. Oleh itu, ayuhlah duhai insani sama-samalah kita mensyukuri kurniaan Allah yang tidak ternilai harganya, di mana jika asuhan dan didikan yang baik kita lakukan buat anak-anak kita ini bakal menguntungkan kita apabila kita sudah tiada di dunia ini. Tapi jika sebaliknya, kita lah yang akan menerima akibat buruk dek kerana salah didikan dan asuhan yang telah kita berikan kepada mereka sejak mereka kecil lagi. InsyaALLAH, jika kita kembali merujuk kepada Al-Quran dan sunnah dalam melayari kehidupan kita ini dan dalam mendidik anak-anak kita, nescaya kita akan senantiasa diberi petunjuk oleh Allah s.w.t.

Wednesday, January 19, 2011

Kehidupan Yang Fana

Ku menelusuri jalan menuju taqwa. Sesungguhnya alangkah indah hidup ini. Kehidupan yang fana menuju jalan ke syurga yang penuh ranjau dan onak duri yang berbisa. Di saat ini ku menadah kedua tangan ku memohon petunjuk daripada Ilahi moga dipermudahkan jalan menuju Nya ini. Ku tunduk syukur ke hadrat Yang Maha Esa kerana diberi hidayah mengharungi mehnah ujian sepanjang merentasi jalan ini.

Di ufuk barat nun di kejauhan mentari melabuhkan tirai nya, di mana cahaya nya kemerahan memberi petunjuk bahawa ia akan tenggelam dan malam akan menjelma. Suasana di ketika sang mentari di ufuk barat amatlah indah di pandangan mata. Itulah bukti kehebatan ciptaan Tuhan Yang Maha Esa, yang menciptakan manusia dan alam ini daripada daripada tiada kepada ada. Itulah hakikat yang berlaku di alam maya yang amat luas ini. Kita hanyalah insan yang kerdil yang diciptakan oleh Allah buat menghuni alam ini buat satu tempoh yang ditetapkan dan akan di jemput kembali ke hadrat Ilahi apabila sampai waktu dan ketika nya. Oleh itu duhai insani, hargailah kehidupan mu sementara kamu masih diberi masa untuk hidup di dunia yang fana ini sebelum dikau dijemput menghadapNya dan tidak akan kembali buat selama-lamanya ke dunia ini lagi.

Oleh itu, duhai temanku hargailah nikmat Allah yang sangat berharga ini, iaitu nikmat kehidupan. Gunakanlah ia dengan sebaiknya di ketika ia masih lagi bersama dengan mu. Ketahuilah orang yang berjaya adalah orang yang memanfaatkan kehidupan ke arah perkara kebaikan dan yang menjurus kepada mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Thursday, January 13, 2011

Penghuni Alam Maya

Langit cerah membiru disinari cahaya sang suria, daku menyaksikan nya dengan penuh ketakjuban dan bersyukur kehadrat Ilahi kerana daku masih dihidupkan di dunia ini dan masih dapat menikmati panorama yang indah ini. Di lembah yang permai pula kelihatan bunga-bungaan yang pelbagai warna yang penuh keindahan menghiasi taman duniawi. Alangkah indah ciptaan Yang Maha Esa yang berkuasa ke atas setiap sesuatu yang ada di alam ini.

Dengan keterbatasan ilmu ku ini, ku menanti di saat daku sujud ke hadrat Yang Kuasa kerana Dialah pencipta seluruh alam maya ini dan diriku jua serta seluruh makluk di alam yang fana ini. Tanpa Dia, semua yang ada di langit dan di bumi ini serta di antaranya tidak akan pernah wujud. Ingatlah duhai temanku, senantiasalah mengucapkan Alhamdulillah tanda memuji nama Ilahi dan mensyukuri segala nikmat yang di kurniakan olehNya kepada kita semua dan ingatlah sesungguhnya kita hanyalah insan yang kerdil yang menghuni alam yang maha sementara ini.

Ku tunduk syukur di hadapanMu Ya Rabbi kerana menghidupkan daku buat menghuni alam ini sebelum diriku kembali bertemu Mu. Yang pasti pertemuan itu pasti akan berlaku. Ku mengharapkan daku senantiasa mendapat keredhaan daripadaMu di kehidupan ini dan di kehidupan di alam selepas mati nanti.

Thursday, January 6, 2011

Adab Orang Belajar


Adab murid terhadap guru itu ada beberapa perkara. Tetapi Imam al-Ghazali yang dirahmati Allah Taala menyebutkan di dalam kitab ‘Bidayatul Hidayah’ Sebelas Perkara.

1. Apabila ia mendapatkan gurunya maka ia hendaklah mendahului pada memberi salam.

2. Jangan banyak berkata-kata di hadapan guru.

3. Jangan berkata-kata apa yang tiada ditanya oleh guru.

4. Jangan bertanya guru sebelum meminta izin daripadanya.

5. Jangan menyangkal perkataan guru dengan mengatakan si polan menyalahi apa yang engkau katakan dan sebagainya.

6. Jangan memberi isyarat kepada gurunya dengan sesuatu yang menyalahi bicara gurunya yang membawa sangkaan kononnya dia terlebih benar daripada gurunya atau terlebih mengetahui daripada gurunya. Yang demikian itu kurang adab terhadap gurunya dan kurang berkat.

7. Jangan berbisik- bisik dengan rakan yang sama-sama duduk di hadapan guru.

8. Jangan berpaling ke kiri dan ke kanan ketika di hadapan guru, tetapi hendaklah ia duduk tunduk beradab seolah-olah ia berada di dalam sembahyang.

9. Jangan banyak bertanya ketika guru segan berkata-kata atau letih.

10.Apabila guru berdiri maka ia hendaklah turut berdiri kerana mentakzimkan guru dan jangan diikuti pada ketika ia bangkit itu, dengan pertanyaan dan soalan dan jangan bertanya masalah ketika ia sedang berjalan hingga ia sampai ke rumah atau ke tempat duduknya.

11.Jangan jahat sangka terhadap guru pada segala perbuatan yang zahir yang menyalahi iktikadnya atau perbuatan guru itu bersalahan dengan pengetahuan atau dengan adatnya, kerana guru itu terlebih mengetahui dengan segala rahsia syariat seperti hikayat Nabi Musa dan Nabi Khidir a.s. Maka perbuatan Nabi Khidir memecahkan perahu orang yang ia tumpanginya, membunuh kanak-kanak kecil yang belum berdosa, pada zahirnya perbuatan itu menyalahi syariat, sebab itu pada permulaannya Nabi Musa mengingkarinya, tetapi pada hakikatnya tiada menyalahi batin syariat, sebab itulah pada akhirnya Nabi Musa membenarkannya.

Dipetik daripada Kitab Hidayah Salikin

Wednesday, January 5, 2011

KekuasaanNya Meliputi Segala-galanya

Malam berganti siang, ku telusuri ranjau kehidupan ini dengan penuh kedaifan. Oh Tuhan ku ampunilah dosa hamba Mu ini. Daku amat takut akan seksaan azabMu di akhirat sana. Hanya ku mampu menadah tangan berdoa kepada Mu dan ku mengharapkan Dikau meredhai ku di setiap detik perjalanan ku di dunia ini.

Sesungguhnya alam ciptaan tuhan adalah maha luas, tidak tercapai akal fikiran ku ini untuk memikirkannya. Daku tunduk bersyukur di atas segala kurniaan yang telah Engkau berikan buat diriku yang hina ini. Sesungguhnya rahmatMu Ya Tuhan meliputi segala-galanya. Betapa agungnya kuasa Mu duhai Tuhan semesta alam yang mentadbir seluruh alam maya ini. Ku bertafakur sejenak memikirkan kejadian yang berlaku di alam ini, namun apa yang ku dapati di sebalik kejadian itu tersirat pelbagai hikmah yang tersembunyi tercerna di sebalik keagungan kuasa Mu Tuhan Pentadbir Seluruh Alam Maya.

Ku menadah tangan berdoa semoga daku tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang selalu bersyukur di atas segala nikmat yang di kurniakan kepada diriku ini. Ku mengharapkan diriku dapat mengadap Mu duhai Tuhan Semesta Alam dengan penuh rasa kehambaan di hadapan kekuasaanMu yang meliputi segala-galanya. Ameen.