Sunday, February 27, 2011

Bunga-Bungaan Mekar Mewangi

Keindahan bunga yang mekar di taman sungguh mempesonakan. Menenang kan jiwa sesiapa sahaja yang memandang nya. Dengan variasi warna yang pelbagai dan ditambah dengan keharuman baunya yang wangi cukup memikat jiwa ini. Itulah bunga, kemunculan mu di alam ini mengindahkan lagi panorama alam ciptaan Yang Maha Esa.

Wanita diciptakan untuk kaum Adam, laksana bunga yang mekar mewangi di taman syurgawi. Sifat mu yang lembut sebagai pendamping buat lelaki yang mana tidak akan sempurna hidup kaum Adam tanpa mu disisi nya. Namun begitu, keindahan rupa paras mu tidak kan kekal selama mana hidup mu di dunia ini. Ia kan berubah seiring dengan perubahan usiamu. Namun keindahan budi pekerti dan akhlak yang mulia seorang wanita akan kekal selamanya sehingga ke akhir hayat nya di dunia yang fana ini. Oleh itu rupa paras seorang wanita bukanlah ukuran sebenar dalam memilih pasangan buat kaum lelaki tapi yang lebih penting akhlak yang baik hasil didikan orang tua nya semenjak dirinya masih kecil itulah yang menjadi ukuran nya.

Duhai insani, telusuri lah perjalanan hidup rasul mulia kekasih Allah. Keindahan akhlak baginda yang mulia menjadi teladan buat umat baginda sehingga ke detik kehancuran dunia ini. Para isteri nabi merupakan Ummul mukminun, ibu bagi sekalian orang mukmin seharusnya menjadi idola buat kaum hawa di zaman yang serba canggih ini. Semoga kita semua sama-sama mencontohi generasi awalan Islam silam dalam mengharungi liku-liku duniawi yang semakin mencabar di dekad ini. Ameen Ya Rabbal Alamin.

Monday, February 21, 2011

Limpahan Rahmat Ilahi

Ya Rabbi, duhai Tuhanku Engkau lah pentadbir seluruh pelusuk alam maya ini. Ku tunduk sujud ke hadrat Mu dengan penuh kerendahan hatiku ini. sesungguhnya rahmat Mu amatlah luas menjangkau seluruh semesta alam. Ingatlah duhai insani rahmat Ilahi yang kita semua selalu dambakan di kehidupan ini dan di kehidupan alam selepas mati nanti.

Di ketika ini ku menadah tangan memohon daripada Mu Ya Rabbi semoga diberi kemudahan dan kesenangan dalam melayari bahtera kehidupan ini yang terkadang terumbang ambing dipukul ribut mehnah duniawi yang tidak kunjung padam. Namun ku pasrah kepadaMu di atas segala ujian hidup yang menimpa diriku ini. Hanya kepadaMu lah aku berserah diri dan daku bersujud memohon ampunan dariMu di atas segala keterlanjuran sepanjang daku dihidupkan di dunia yang sementara ini.

Daku tunduk bersyukur di hadapan Mu Ya Rabbi di atas segala kurniaanMu buat diriku yang hina ini.Sesungguhnya hanya diriMu lah yang layak di sembah, tiada tuhan selain diriMu yang menciptakan seluruh maya ini.Daku mengharapkan dapat mempersembahkan amalan yang terbaik buat diriMu Ya Tuhanku sementara daku masih menjalani kehidupan di dunia yang fana ini.

Tuesday, February 15, 2011

Khalifah Allah di Muka Bumi

Manusia diciptakan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Tujuan ia diciptakan adalah untuk memakmurkan alam ini sesuai dengan perintah Rabbnya. Allah menghidupkan kita di dunia ini adalah supaya kita mengabdikan diri kita kepadaNya. Kehidupan di dunia ini adalah sekejap sahaja jika dibandingkan dengan kehidupan di akhirat yang kekal abadi buat selama-lamanya.

Nabi Muhammad s.a.w diutuskan oleh Allah azzawajalla ke dunia ini sebagai rahmat buat sekalian alam. Baginda membawa cahaya kebenaran buat umat manusia akhir zaman supaya kembali bertauhidkan hanya kepada Allah Yang Maha Esa yang tiada sekutu selain daripadaNya. Sesungguhnya baginda lah penutup segala nabi dan rasul dan tiada lagi nabi dan rasul selepasnya. Keperibadian baginda adalah sungguh terpuji sebagai contoh teladan buat umatnya sehingga berlaku lah detik kehancuran dunia ini sebelum semua manusia kembali pulang menghadap Rabbnya.

Ayuh duhai insani contohi akhlak mulia rasul tercinta, kerana bagindalah pemimpin kita di dunia dan akhirat. Walaupun baginda telah tiada di bumi ini namun warisan peningggalan sunnah dan juga mukjizat teragung yakni kitabullah amatlah berharga bagi kita supaya ianya sentiasa menjadi pegangan buat kita semua sehingga ke akhir hayat kita.

Monday, February 14, 2011

Insan Mulia Kekasih Allah


12 Rabiul awal tarikh yang bersejarah di dalam kalendar Islam. Tarikh memperingati kelahiran insan mulia kekasih Allah Muhammad al Mustafa. Kelahiran nya membawa sinar kebahagiaan buat insan seluruh maya. Ya rasulullah, sesungguhnya engkau lah rahmat bagi sekalian alam. Tanpa mu akan gelap gelita lah alam ini, dikau datang membawa cahaya kebenaran buat menerangi kehidupan insani sehingga berlakunya detik kehancuran dunia yang fana ini.

Ya Rabbi, sampai kan lah salam ku buat insan agung junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Selawat dan salam ku panjatkan buat dirimu ya rasulullah. Sesungguhnya perjuangan mu menentang kezaliman dalam membawa cahaya kebenaran amat ku kagumi dan akan bakal ku contohi. Engkau lah rasul pilihan Allah pembawa kebenaran yang hakiki sebagai penunjuk jalan manusia akhir zaman ke jalan yang diredhai oleh Allah azzawajalla. Hidayah daripada Mu ya Allah kupinta semoga di berikan kekuatan dalam mencontohi jejak langkah rasul tercinta yang amat kusanjungi.

Ku panjatkan doa ya Rabbi, semoga diri ini tabah menghadapi ujian hidup di sepanjang melalui kehidupan dunia yang sementara ini. Ketabahan rasulullah dalam menyebarkan risalah Ilahi akan daku contohi selalu dalam memberi kekuatan kepada ku untuk terus melangkah ke hadapan sehingga ke akhir hayatku ini.

Wednesday, February 2, 2011

Pertemuan Adam dan Hawa

Sesungguhnya jodoh, pertemuan dan ajal maut semua nya di tangan tuhan. Ungkapan ini sering kita dengari dan sangat biasa diungkapkan dalam masyarakat kita. Namun ia mempunyai makna yang cukup mendalam jika kita teliti. Berbalik kepada jodoh dan pertemuan, kita hendaklah yakini bahawa, semuanya telah ditetapkan kepada kita oleh Allah azzawajalla sejak azali lagi. Namun janganlah kita menggunakan alasan ini untuk tidak berusaha dan hanya berpeluk tubuh menanti jodoh datang dengan sendiri nya. Kita hendaklah senantiasa berusaha dan kemudiannya bertawakal kepada Allah, sesungguhnya kepadaNya lah jua kita menyerahkan segala urusan hidup kita. Dialah yang terbaik dalam menguruskan kehidupan insani di alam ini.

Namun di dalam pemilihan pasangan hidup, baik lelaki ataupun wanita, mereka yang beragama patut di utamakan. Ini kerana natijah daripada pilihan kita ini akan menjanjikan kebahagiaan kita dalam mengharungi suka duka kehidupan duniawi serta apabila kita kembali kepada Yang Esa di kehidupan abadi di alam akhirat sana. Semoga dengan pilihan kita ini bakal melahirkan daripada zuriat kita anak-anak yang soleh dan solehah yang bakal mewarnai dunia ini dengan kebaikan dan kita senantiasa mendapat rahmat dan keredhaan daripada Yang Maha Kuasa yang berpanjangan hingga ke alam akhirat sana.

Oleh itu, duhai insani panjatkanlah sekalung doa buat Rabbul Izzati moga-moga kita dikurniakan isteri yang solehah penyejuk mata memandang dan akan lahirlah zuriat yang soleh dan solehah yang bakal memakmurkan dunia ini dengan acuan Islam seperti yang di syariatkan oleh Allah melalui ajaran nabi tercinta.