Monday, September 27, 2010

Di Kala Hati Berbicara


Di kala hati berbicara
Akal pula ligat berpusing
memikirkan sesuatu yang tiada kepastian
untuk memenuhi diari kehidupanku

Kala ini jualah
Ku melakar sebuah lukisan
Serangkap puisi sebagai kelengkapan
Yang penuh keindahan
Dalam alam fatamorgana
Agar dapat memberiku seribu kepuasan

Senyuman ku ukir penuh makna
Tapi tiada siapa yang mengerti
Adalah lukisan ini bisa mengerti
Segala keluh kesah rintihan sanubari ku

Di kala hati berbicara
Daku bertafakur mohon petunjuk
Moga keresahan dapat diubati
Dengan turunnya pancaran Nur Ilahi
Agar dapat ku tempuhi
mehnah duniawi

Jika inilah ketentuan Yang Maha Esa
Ku akur dengan segalanya
Redha ku dalam dakapanMu
Berbekalkan kesabaran sebagai paksinya
Daku yakin sinar kan muncul lagi.

Peperangan Mengundang Bencana


Peperangan… mengundang bencana kepada kehidupan manusia. Maka jauhilah ia, semoga keamanan dapat kita kecapi. Sesungguhnya jika dilihat dalam rentetan kehidupan manusia sejak zaman berzaman peperangan sudah lama wujud yang banyak meninggalkan kesan parut hitam di hati sanubari manusia.

Semoga kita bersatu hati dalam mengelakkan peperangan daripada terletus, baik sesama kita yakni umat Islam ataupun dengan orang bukan Islam. Namun jika kita tidak dapat menghindarinya, haruslah kita sama-sama hadapinya dan usahakanlah agar perdamaian merupakan kesudahannya dan tiada nyawa yang terkorban dek peperangan tersebut.

Bagi umat Islam, ayuhlah bersatu hati kita sama-sama berpegang teguh dengan tali Allah dan dengan syariat Rasulullah, moga kita berjaya mengharungi kehidupan ini dan kehidupan di akhirat kelak. Telusuri lah sirah nabi tercinta dalam menghadapi mehnah duniawi semoga kita tidak akan tersasar daripada landasan kebenaran yang merupakan jalan petunjuk daripada Ilahi. Ayuhlah duhai temanku, muhasabah lah setiap diri di mana kesempatan hidup yang diberikan oleh Allah Taala kepada kita semua di dunia ini adalah singkat sekali. Oleh itu manfaatkan setiap detik masa yang berjalan dengan sebaik-baiknya. Moga-moga kita selamat dan mencapai kejayaan hidup di dunia dan di alam akhirat.

Saturday, September 25, 2010

Alam Ciptaan Ilahi


Sesungguhnya setiap ciptaan Allah bukan lah di jadikan olehNya sia-sia. Maha Suci Allah, yang menjadikan setiap benda di alam ini mempunyai manfaatnya baik sekecil-kecil zarah di bumi ini ataupun sebesar-besar galaksi serta gugusan bintang-bintang yang berada di alam cakerawala sana. Semua ini menunjukkan kekuasaan Allah yang Maha Hebat, Tuhan sekalian alam, tiada sekutu bagiNya.

Setiap insan haruslah yakin bahawa semua benda yang ada di alam ini adalah dijadikan oleh Allah dan milikNya jualah segala apa yang ada di langit dan di bumi ini. Kita sebagai insan kerdil yang dijadikan daripada setitik air mani tiada kuasa sedikit pun jika tidak mendapat keizinan dariNya. Oleh itu, ayuhlah temanku tingkatkan lah ketaqwaan kita kepada Allah dengan melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala yang diharam olehNya, moga- moga kita mendapat hidayah dan petunjuk dalam mengharungi liku-liku duniawi ini dengan jayanya.

Menjadi harapan kita semua untuk mendapat kejayaan di dalam kehidupan kita di dunia ini dan juga kehidupan di negeri akhirat yang kekal abadi buat selama-lamanya. InsyaALLAH. Moga-moga kita mendapat petunjuk dariNya…

Wednesday, September 22, 2010

Mentari kehidupan menyinari alam


Disaat ini, mentari menyinari alam maya menyerikan lagi keindahan alam ciptaan Ilahi yang penuh ketakjuban ini. Alangkah indahnya ciptaan Yang Maha Esa. Ku tunduk syukur kehadrat Ilahi… Subhanallah. Maha Suci Allah yang kekuasaan Nya meliputi segala-galanya. Daku hanyalah insan kerdil yang diciptakan olehNya untuk mendiami dunia yang fana ini. Sebelum diriku dijemput untuk mengadapNya bila sampai waktunya.

Sesungguhnya manusia diciptakan hidup di alam dunia ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Itulah matlamat utama kita diciptakan di atas dunia yang maha sementara sifatnya ini. Setiap amal yang kita kerjakan di dunia akan di hisab di negeri abadi di negeri akhirat kelak yang bakal menentukan nasib kita adakah baik atau pun buruk untuk hidup kekal abadi di sana.

Oleh itu, ayuh lah temanku, muhasabah lah dirimu sebelum ajal menjemput yang tiada siapa yang mengetahui melainkan Dia lah jua. Insafi setiap dosa dan noda yang pernah dilakukan, moga-moga segalanya di ampun oleh Tuhan Yang Maha Esa. Moga-moga kehidupan ini menjanjikan medan yang terbaik buat kita semua meraih seberapa banyak bekalan untuk kehidupan di alam selepas mati. InsyaALLAH.

Saturday, September 18, 2010

Di Keheningan Pagi


Bayu pagi menepis lembut pipiku
sejenak ku lihat titisan embun jatuh ke bumi
sinaran dedaunan mekar kehijauan
seolah Melakar lukisan indah alam maya
oh...indahnya kurniaan ilahi..

kejauhan ini juga
ku melafaz Subhanallah
mengagumi anugerah yang diberikan
padaNya jualah
Ku tunduk syukur memuji namamu ilahi

Sekalung doa kupanjatkan pada ilahi
Seusai solat di kedinginan pagi
Kualunkan zikir munajat pengubat sanubari
Yang keluh kesah dek mehnah duniawi

Moga di hamparan kehidupan ini
Mencorak satu warna keindahan pelangi
Menerangi alam kehidupan ku
Diselangi pancaran nur cahaya ilahi
Buat pedoman hidupku menuju alam selepas mati

Nukilan rasa
Zul
Kota Bharu,Kelantan

Thursday, September 9, 2010

Persiapan Menyambut Eidufitri


Alhamdulillah… syukur kehadrat ilahi kerana kita telah dapat menyempurnakan sebulan berpuasa di bulan Ramadhan al Mubarak. Kini, tiba lah masa kita menyambut Hari Raya Eidulfitri, hari kemenangan buat seluruh umat Islam yang berjaya berjuang menahan lapar dahaga dan gejolak nafsu demi menurut perintah Allah s.w.t di bulan Ramadhan yang lalu. Namun, di sini digariskan beberapa adab bagi menyambut Eidulfitri ini. Di antaranya:

1. Berdoa di malam hari raya
Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Taala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya adalah di antara malam-malam yang diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitab Al-Umm: “Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rejab dan malam Nisfu Syaaban. Oleh itu banyakkanlah kita berdoa di malam Hari Raya Eidulfitri ini yang mana kebetulannya jatuh juga di malam Jumaat (Syawal 1431H).

2. Membanyakkan Takbir Sepanjang malam dan sebelum Solat Sunat Eidulfitri
Sejak malam hari Eidul fitri sehingga imam datang untuk memulakan solat pada hari raya, kita disunatkan memperbanyakkan bacaan takbir. Seharusnya umat Islam janganlah terlalu sibuk dengan aktiviti membuat persiapan Hari Raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini yang hanya datang pada Hari Raya sahaja. Takbir di Hari Raya meninggikan syiar Islam selain kalimah Takbir tersebut amat dibenci oleh Syaitan.

3. Bersolat Hari Raya secara Berjamaah
Di zaman Rasulullah s.a.w, solat sunat Hari Raya dilaksanakan secara berjamaah di padang ataupun di tempat yang lapang dan terbuka. Ini dapat memberi kemudahan kepada kaum wanita yang tidak dapat menunaikan solat Hari Raya kerana uzur untuk mendengar khutbah hari raya.

4. Pergi dan balik ke tempat solat melalui jalan yang berlainan
Disunatkan pergi dan balik daripada tempat solat melalui jalan yang berbeza. Tujuannya adalah supaya kita dapat bertemu dengan lebih ramai orang yang berlainan untuk kita sama-sama bersalam-salaman dan bermaaf-maafan

5. Menikmati makanan sebelum ke masjid
Disunatkan di Hari Raya Eidulfitri untuk menikmati sedikit makanan sebelum menunaikan Solat Hari Raya. Ia merupakan sunnah nabi Muhammad s.a.w sebagaimana yang diriwayatkan dari Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: Maksudnya: “Nabi s.a.w tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga baginda makan( terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)

6. Memakai pakaian yang elok
Rasulullah s.a.w sentiasa berpakaian kemas termasuklah ketika melaksanakan Solat Hari Raya. Oleh itu, kita haruslah mempersiapkan pakaian lebih awal agar tidak tergopoh gapah menjelang pagi Hari Raya. Diriwayatkan daripada Ja’far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya: Maksudnya: “ Bahawasanya Nabi S.A.W memakai kain yang bergaris-garis ( untuk diselimutkan pada badan ) pada setiap kali Hari Raya.” ( Hadis riwayat Al- Syafi’e dan Al- Baghawi)

7. Ziarah menziarahi
Disamping ziarah boleh merapatkan silatrurrahim sesama Islam, ia juga berperanan dapat mengangkat kesusahan yang dialami oleh orang lain.Amalan ziarah menziarahi ini sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.

Tuesday, September 7, 2010

Detik-detik berakhirnya ramadhan


Kini kita berada di ambang pemergiannya bulan ramadhan al Mubarak 1431. Sekarang ramadhan bakal sampai ke penghujung nya. Manfaatlah hari-hari terakhir ramadhan dengan amalan-amalan yang baik moga-moga kita tidak menyesal.Setiap diri harus bertanya; Adakah ini adalah ramadhan terakhir buat kita? kerana kita tidak tahu kerana semua itu adalah dalam ilmu Ar Rahman. Oleh itu sementara masih ada hari-hari yang berbaki ini, manfaatlah ia duhai temanku.

Para ulama silam menangisi bila tibanya hari-hari terakhir di bulan ramadhan. Mereka inginkan agar sepanjang tahun adalah bulan ramadhan dek kerana inginkan ganjaran yang Allah tawarkan di bulan maghfirah yang penuh keberkatan ini. Namun, berlainan dengan persepsi kebanyakan masyarakat dewasa ini, yang berasa amat gembira apabila ramadhan sampai ke penghujung nya, kerana bagi mereka sambutan hari raya aidilfitri amat menyeronokkan berbanding hari-hari yang masih berbaki di penghulu segala bulan ini.

Oleh itu, ayuh duhai temanku lipatgandakan amal ibadat mu, kerana 10 hari terakhir di bulan ramadhan ini Allah janjikan jaminan pembebasan daripada api neraka buat umat akhir zaman umat nabi Muhammad s.a.w. Satu jaminan yang berguna di hari akhirat kelak yang amat diingini oleh seluruh umat Islam yang mengaku beriman dengan Allah yang Esa dan yang mengikut ajaran sunnah peninggalan nabi Muhammad s.a.w

Sunday, September 5, 2010

Pagi yang mendamaikan


Ku termangu sendirian menunggu sang mentari pagi muncul di kedinginan pagi yang damai ini. Hanya ku mampu ungkapkan kata-kata pujian memuji muja sang pencipta alam maya ini. Ku iringi kalimah tahmid dan tasbih berulang ulang kali moga ku dapat menghayati nya selalu di ketika bermula nya pagi hari yang permai ini. Disetiap pagi kedengaran kicauan burung keluar dari tempat peraduan nya mencari sesuap rezeki buat meneruskan kehidupan. Kokokan ayam menyerikan lagi bunyian di pagi yang indah ini.

Namun, tanpa ku sedari masih ada insan yang masih belum bangkit untuk sama sama mengecapi keindahan mentari pagi ini kerana lena dibuai mimpi yang indah di dalam peraduannya di atas tilam yang empuk . amat lah jarang ku lihat insan lain sama2 menghayati suasana pagi yang hening ini memulakan pekerjaan untuk memulakan langkah kehidupan di saat bermula nya hari.

Dikala ini ku termangu kesepian menanti detik detik hari mendatang yang entah bila agaknya kesusahan ini bakal sirna terus. Ku pasrah kehadrat ilahi semoga dengan kepayahan ini lebih mematangkan diriku buat mengharungi hari hari yan mendatang. Ku bersyukur kehadrat ilahi dilimpahkan kasih sayang dan rahmatNya kepadaku. Ya Rabb….. ku dambakan cinta dariMu