Friday, May 27, 2011

Wasiat Nabi Tercinta

Wasiat Nabi Muhammad s.a.w Kepada Saidina Ali

Wahai Ali, bagi orang mukmin ada tiga tanda:
1) Tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia.
2) Tidak terpesona dengan pujuk rayu wanita.
3) Benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia.

Wahai Ali, bagi orang alim itu ada tiga tanda:
1) Jujur dalam berkata-kata.
2) Menjauhi segala yang haram.
3) Merendah diri.

Wahai Ali, bagi orang yang takwa itu ada tiga tanda:
1) Takut berlaku dusta dan keji.
2) Menjauhi kejahatan.
3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

Wahai Ali, bagi orang yang jujur itu ada tiga tanda:
1) Merahsiakan ibadahnya.
2) Merahsiakan sedekahnya.
3) Merahsiakan ujian yang menimpanya.

Wahai Ali, bagi ahli ibadah itu ada tiga tanda:
1) Mengawasi dirinya.
2) Menghisab dirinya.
3) Memperbanyakkan ibadah kepada Allah SWT

Wednesday, May 25, 2011

Halalan Toyyiban

Makanan merupakan keperluan asasi buat manusia. Tanpanya akan lenyap lah kehidupan insani di dunia ini. Namun, adakah kita waspada dalam pemilihan makanan buat kita dan keluarga. Adakah kita yakin dan pasti makanan yang dihidangkan itu diyakini akan kehalalannya. Ingatlah duhai insani, Allah menciptakan kita sebagai khalifah dengan diberikan akal fikiran untuk mentadbir dunia ini. Oleh itu, gunakanlah ia dengan sebaiknya dalam memilih perkara yang dibenarkan syarak dan meninggalkan perkara yang diharamkan dalam agama.

Dalam pemilihan makanan yang halal pula, pastikan ianya adalah makanan yang terbaik dan berkhasiat untuk kita. Di zaman kini, pelbagai penyelidikan tentang makanan telah dibuat. Natijahnya terhasillah makanan segera di pasaran yang mempunyai pelbagai jenama. Oleh itu, hati-hatilah dalam memilih nya untuk keperluan keluarga dan anak-anak kita. Ingatlah, walaupun secanggih mana pun teknologi, jangan kita abaikan hukum agama kerana ia merupakan tunjang dalam kehidupan kita di dunia ini.

Maha suci Allah yang menciptakan kita daripada setitis air mani yang hina. Kita adalah sebaik-baik makhluk yang diciptakan oleh Allah untuk mentadbir dunia ini sesuai seperti apa yang disyariatkan olehNya. Sesungguhnya tugas sebagai khalifah Allah merupakan amanah Yang Esa buat insani. Penuhilah amanah ini dengan sebaiknya moga-moga kita kan sentiasa diredhai oleh Nya di kehidupan ini dan di alam kekal abadi di akhirat sana.

Monday, May 23, 2011

Bumi Yang Diberkati

Makkatul mukarramah, bumi yang tandus pada mulanya dan diberkati oleh Allah azzawajalla. Di sinilah lahirnya insan agung sepanjang zaman seorang nabi yang ummi rasul mulia kekasih Allah Muhammad s.a.w. Lahirnya membawa sinar cahaya gemilang buat seluruh alam maya. Bersamanya diturunkan mukjizat agung kitabullah Al-Quranul karim, kalamullah.

Duhai sahabatku, senantiasalah kita membaca serta menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, kerana kelak kita bakal mendapat syafaat darinya di akhirat sana.Sesungguhnya kitab Al-Quran adalah unik, dan menjadi bukti kebesaran Ilahi buat insani. Gaya bahasa nya cukup indah dan ayat-ayat nya mempunyai makna yang penuh tersirat dan merupakan sumber ilmu keduniaan dan ukhrawi. Di dalamnya mengandungi kisah-kisah teladan zaman sebelum kebangkitan nabi akhir zaman sebagai tatapan buat umat nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu, di kesempatan kita yang masih menghirup udara di alam dunia ini, sama-samalah kita menimba sebanyak mungkin ilmu Al-Quran dan mengamalkan segala isi kandungannya di dalam kehidupan kita seharian.

Ayuh duhai insani, manfaatlah setiap masa mu dengan perkara yang menjurus kepada alam selepas mati mu nanti. Kelak dikau akan mengetahui dengan pasti bahawa segala ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah benar belaka. Dan di kala itulah segala ratapan penyesalan tiada lah berguna lagi buat selama-lamanya. Moga-moga diri kita tergolong di kalangan mereka yang sentiasa mendapat keredhaan Allah di alam dunia dan di alam akhirat sana.

Saturday, May 21, 2011

Rembulan di Malam Hari

Di malam yang dingin kelihatan rembulan bercahaya terang bersama cahaya bintang yang bergemerlapan menyerikan lagi keindahan langit malam. Subhanallah, sungguh hebat ciptaan Yang Maha Kuasa yang menciptakan alam ini dan segala isi dunia. Ku syukuri nikmatMu Ya Ilahi moga-moga kenikmatan ini akan terus berkekalan hendaknya.

Bulan adalah salah satu ciptaan Tuhan Yang Maha Esa. Di kala malam menjelma, cahaya nya cukup terang walaupun tidak secerah sinaran mentari di siang hari, namun ia sudah cukup untuk menjadi perhiasan di langit dunia buat tatapan makhluk Allah di bumi yang fana ini. Namun, di kala terbit nya fajar subuh, ia kembali hilang, dan mentari akan terbit di ufuk timur. Itulah putaran alam ciptaan tuhan, malam dan siang silih berganti mengikut aturan yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Esa. Sesungguhnya Dialah yang menciptakan alam ini dan segala hukumnya. KepadaNya jualah kita berserah dan kepadaNya jualah kita memohon pertolongan. Dialah Tuhan Pentadbir alam semesta yang luas ini.

Ingatlah duhai teman, kita hanyalah insan kerdil yang dihidupkan buat sementara waktu di bumi Nya ini sebelum kembali kepadaNya apabila tiba saat dan ketika nya nanti. Oleh itu, senantiasa lah persiapkan bekalan amal kebaikan mu sementara dirimu masih diberi kesempatan menghuni dunia ini. Moga-moga kita semua tergolong di kalangan mereka yang berjaya di dunia dan di negeri abadi di akhirat sana.

Wednesday, May 18, 2011

Lautan Yang Kebiruan

Di kejauhan kelihatan lautan membiru yang luas nya saujana mata memandang. Deruan ombak menghempas ke tepian pantai mengalunkan irama memecah kesunyian. Di pantai pula kelihatan pepohon nyiur berayun-ayun mengikut deruan sang angin sepoi-sepoi bahasa yang mana kedinginan nya amat terasa. Inilah dia panorama indah pemandangan di tepian pantai, yang tidak jemu-jemu untuk kita nikmati keindahannya.

Maha Suci Allah yang menjadikan alam ini dengan segala keindahannya. Betapa hebatnya ciptaan Yang Maha Esa. Ku tunduk syukur di atas kehebatan ciptaan Mu Ya Rabbi. Sesungguhnya Engkau lah tuhan pencipta alam semesta. Daku hanyalah insan kerdil yang dihidupkan di dunia yang maha fana ini buat satu tempoh yang telah ditetapkan olehMu. Daku berserah diri dan mohon petunjuk dariMu semoga dipermudahkan jalan menemui Mu nanti.

Ya Rabb, Tuhan Yang Maha Esa, tiada tuhan melainkan Dikau. Ku tunduk akur dengan keagungan dan kekuasaan Mu. Hanyalah kepada Mu daku menghambakan diri dan hanyalah kepadaMu daku memohon segala pertolongan. Ameen Ya Rabbal Alamin.

Saturday, May 14, 2011

Nikmat Tuhan Yang Maha Esa

Alangkah indah ciptaan Yang Maha Esa. Dijadikan lautan yang luas membiru dan pulau di tengah-tengah nya menambahkan lagi keindahan panorama alam maya. Inilah dia ciptaan Tuhan Yang Maha Kuasa di kediaman insani di dunia yang fana ini. Ku syukuri segala kurniaan nikmat Ilahi, Alhamdulillah segala puji hanyalah layak bagiNya jua.

Nikmat Ilahi buat insani amatlah banyak dan tidak terhitung bilangannya, itulah rahmat Ilahi buat insani, moga-moga kita semua tergolong di kalangan orang-orang yang bersyukur di atas segala kurniaan nikmatNya.

Sesungguhnya segala apa yang kita miliki di dunia ini, adalah pinjaman semata dan bakal dipulangkan kepada Tuhan Rabbul Jalil bila tiba saat dan ketika nya nanti. Oleh itu, insaf lah duhai teman, gunakanlah ia dengan sebaiknya semasa hayat kita masih ada kerana ia bakal dipertanggungjawabkan nanti di mahkamah Allah nanti di saat selepas dunia ini dihancur sehancur-hancurnya.

Moga-moga diri kita senantiasa mendapat keredhaan dariNya sepanjang menjalani kehidupan yang fana ini sebelum diri kita dijemput menghadapNya nanti. Ya Rabb, keredhaan dariMu daku harapkan di kehidupan ini dan di alam selepas mati nanti. Ameen Ya Rabbal Alamin.

Thursday, May 12, 2011

Permulaan Hari


Di pagi yang hening ini, kedengaran kokokan ayam sahut sahutan memecah kesunyian. Terasa diri kembali di hidupkan kembali setelah bangkit daripada lena yang panjang di malam hari. Alhamdulillah ku syukuri nikmat tuhan yang masih memberi peluang untuk ku menikmati kehidupan ini.

Pagi merupakan permulaan hari bagi kehidupan insani di dunia ini. Oleh itu manfaatkanlah waktu nya dengan sebaik-baiknya. Di kala inilah kesegaran akan terasa selepas dirimu bangkit daripada rehat yang panjang semalaman. Rancanglah jadual hidup mu di pagi hari dengan sebaiknya, moga-moga hari ini lebih baik daripada semalam dan perlu diingat setiap detik dan ketika daripada masamu haruslah diisi dengan perkara yang bermanfaat untuk agama mu nanti.

Dari hari ke hari dan dari detik ke detik masa terus berjalan, sesungguhnya ingatlah masa tidak pernah menunggu kita. Ia terus berjalan dan tidak akan berhenti walau pun sekejap kerana waktu nya akan berhenti akan tiba jua di waktu yang telah dijanjikan oleh Tuhan Pentadbir Semesta Alam, di saat dunia ini sampai ke penamatnya dan di saat seluruh alam dihancurkan dan di saat seluruh manusia kembali kepada Rabb-nya nanti.

Oleh itu, persiaplah amal mu sebelum datangnya saat yang dijanjikan itu. Di saat di mana penyesalan tidak berguna lagi. Segala kekayaan, pangkat dan anak pinak yang ramai tidak akan sesekali membantu melainkan bekalan amal ibadat yang diperintahkan itulah yang ada nilainya di ketika itu.

Moga-moga diri kita tergolong dalam mereka yang mendapat kejayaan di kehidupan ini dan di alam kekal abadi nanti.

Thursday, May 5, 2011

Pengorbanan Ayah dan Ibu

Sesungguhnya pengorbanan dan jasa ayah dan ibu kita tiada tolok bandingan nya dan tak termampu untuk kita balas di kehidupan ini. Oleh itu, hormatilah mereka kerana tanpa mereka kita sama sekali tidak akan wujud di dunia ini. Bagi sesetengah daripada kita yang sudah kehilangan ayah dan ibu, sentiasa lah memanjatkan doa buat mereka semoga roh mereka sentiasa berada di dalam keadaan aman di alam sana.

Ya Rabb, kasihanilah ibu dan ayahku sebagaimana mereka mengasihani daku di ketika daku masih kecil, dan mendidik ku sehingga dewasa dengan penuh kasih dan sayang dan ku memohon dengan rahmat Mu, Ya Rabbi Kau ampunilah segala dosa mereka, sesungguhnya Engkau lah Tuhan Yang Maha Pengampun dan menerima taubat orang-orang yang berdosa.

Sesungguhnya, mempunyai anak soleh dan solehah menjadi idaman seluruh ibu bapa, kerana itulah nikmat yang teragung yang Allah berikan buat hambaNya yang dikasihi. Oleh itu, duhai insani, sama-samalah kita menggapai nikmat teragung ini, untuk kita mencapai kebahagiaan dan kejayaan di negeri akhirat sana. Sama-samalah kita mendidik anak kita menjadi insan yang berguna di kemudian hari di dunia dan di negeri akhirat kelak sesuai seperti apa yang disyariat oleh Allah Azzawajalla.

Di ketika ini ku menadah tangan memohon keampunan bagi diriku di atas segala kekhilafan yang telah daku lakukan tanpa ku sedari atau pun ku lakukan dengan sengaja. Sesungguhnya limpahan maghfirah dariMu daku harapkan di kehidupan ini dan di alam kekal abadi di negeri akhirat nanti.